VERSI : Mobile | Akhbar Digital
25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
GAYA HIDUP

ARKIB : 01/01/1998

Cabaran dan harapan dunia pendidikan 1997

Pengumuman utama berhubung perancangan kementerian untuk mendirikan sebuah sekolah bestari yang lengkap menjelang Januari 1999, dibuat pada pada 10 Januari lalu.

Prototaip konsep ini sedang dimajukan di Cheras dengan anggaran kos RM144.5 juta di atas tapak seluas 12.63 hektar. Di samping sekolah bestari pertama yang lengkap itu, sasaran kementerian ialah menukarkan 98 buah sekolah yang sedia ada menjadi sekolah bestari menjelang 1999.

Tahun 1997 juga menyaksikan pelbagai cadangan pengubahsuaian, pindaan dan pemansuhan beberapa sistem yang membentuk organisasi pendidikan - khususnya sistem peperiksaan.

Pengumuman menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang cadangan menghapus program matrikulasi pada 6 Mei menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra. Bagaimanapun, kementerian akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menghapuskan program matrikulasi tetapi berjanji akan mengkaji semula sistem yang sedia ada untuk menentukan keberkesanannya.

Perubahan di bidang pendidikan cuba dibuat secara besar-besaran kerana serentak dengan cadangan penghapusan matrikulasi, Najib juga mengumumkan akan merombak sistem peperiksaan di peringkat menengah.

Gagasan Kementerian Pendidikan yang lebih besar ialah merombak peperiksaan awam iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi memberi laluan kepada satu sistem peperiksaan yang lebih sesuai.

Ia melibatkan pemansuhan PMR, SPM dan STPM untuk diganti dengan dua peperiksaan lain.

Sistem peperiksaan baru yang dirancang itu merupakan formula empat tahun campur dua tahun berbanding sistem lama yang menggunakan formula tiga tahun campur dua tahun campur dua tahun. Dengan itu, tempoh pendidikan menengah akan dapat disingkatkan setahun lebih awal dan pelajar akan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti pada umur 19 tahun.

Sepuluh hari kemudian (18 Mei), Najib mengumumkan kerajaan bercadang untuk memperkenalkan konsep baru peperiksaan mengikut tahap keupayaan pelajar.

Konsep 'exam in demand' itu akan dilaksanakan sekiranya PMR, SPM dan STPM benar-benar dimansuhkan.

Status terbaru perancangan tersebut sehingga kini bagaimanapun masih belum diketahui.

Bagaimanapun, sebelum meneliti rancangan perubahan tersebut, Kementerian Pendidikan nampaknya perlu terlebih dahulu melihat apa sebenarnya yang berlaku dengan corak dan 'keselamatan' peperiksaan yang sedia ada sekarang.

Ini kerana bukan sahaja peperiksaan UPSR ditegur kerana soalan yang mengelirukan serta tiada jawapan yang tepat, peperiksaan SPM 1997 juga nampaknya turut menjadi mangsa kebocoran.

Sementara itu, mulai tahun ini juga, calon peperiksaan SPM akan diwajibkan untuk mengambil kertas bahasa Inggeris 1119 bagi menggantikan kertas bahasa Inggeris 1322.

Bagi murid yang mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini satu lagi kertas baru diperkenalkan iaitu kertas Sains sebagai tambahan kepada empat kertas yang sedia ada sebelum ini.

Persediaan kementerian dalam menyediakan pelajar yang berilmu tinggi dalam bidang IT nampaknya turut dimanifestasikan melalui perancangannya untuk turut menawarkan mata pelajaran pengkomputeran kepada pelajar tingkatan enam rendah bermula sesi pengajian depan sebagai kertas pilihan baru dalam STPM.

Sementara itu, sehubungan dengan sistem persekolahan, tahun ini juga menyaksikan keberanian Kementerian Pendidikan untuk mencuba sistem persekolahan satu sesi pada Jun lalu melibatkan 28 buah sekolah di seluruh negara.

Bagaimanapun persekolahan satu sesi yang banyak menimbulkan bantahan dan kontroversial terpaksa ditangguh pelaksanaannya.

Sesi 1998/99 mungkin bakal menyaksikan pertambahan pengambilan pelajar di semua IPTA.

Ini kerana di samping diarahkan untuk menambahkan pengambilan pelajar sebanyak 15 peratus, IPTA juga harus menampung pelajar-pelajar yang tidak dapat ke luar negara ekoran dasar baru kerajaan yang terpaksa mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara sebanyak 80 peratus.

IPTA juga nampaknya terpaksa berkerja keras pada tahun depan untuk mencari sumber kewangannya sendiri kerana kemelut ekonomi negara yang berlaku kini juga menyebabkan kerajaan memotong peruntukan mengurus IPTA antara 18 hingga 20 peratus.

Berhubung IPT, mulai sesi pengajian tahun depan, semua pelajar di universiti diwajibkan untuk mengambil dan lulus kertas pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia yang diperkenalkan khusus untuk mendedahkan pelajar kita kepada tamadun-tamadun dunia. Isu guru dan pelajar juga nampaknya banyak mendominasi agenda pendidikan dan negara sepanjang tahun ini.

Peristiwa penahanan 21 pelajar termasuk tujuh pelajar perempuan di Tanjung Agas, Muar, Johor kerana kes penyalahgunaan dadah pada 20 Februari lalu seolah-olah menjadi kunci yang membuka kepada pelbagai persoalan lain berhubung peranan dan tanggungjawab guru serta masalah-masalah pelajar. Berpunca daripada itu juga sekolah turut diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Tindakan pelajar IPTA bersama ahli-ahli Pas berpiket di hadapan Universiti Malaya (UM) menentang kemasukan pasukan kriket Israel di negara ini mencemarkan imej universiti.

Di samping itu, masalah pelajar di dalam negara, kes Abdul Rahim Abdul Rashid, pelajar Washington State University (WSU) yang cuba menculik teman wanitanya dan cubaan bunuh diri pelajar Malaysia di Universiti Essex, London turut menggamatkan negara.

Bagaimanapun dua pelajar yang berkerakyatan Malaysia iaitu Sofiah Farooq dan Hayley Abdullah berjaya mengharumkan nama negara dengan kejayaan cemerlang mereka di luar negara.

Sofiah berjaya melanjutkan pelajarannya di Universiti Oxford dalam bidang Pengamiran Lanjutan dan Transformasi manakala Hayley pula menjadi pengarah Mensa.

Di samping itu, tahun ini juga menyaksikan nama Universiti Pertanian Malaysia ditukarkan kepada Universiti Putra Malaysia, sesuai dengan peranannya kini yang lebih menumpukan kepada bukan sahaja kursus-kursus yang berasaskan pertanian, tetapi juga teknologi informasi (IT).

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.