Bagi umat Islam, Ramadan ialah bulan untuk meningkatkan ibadat dan kemurahan hati bagi membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.
Sumbangan kepada tabung itu dapat membantu mangsa-mangsa bencana alam di Sumatera untuk menghadapi dugaan hidup selepas gempa bumi.
Ekoran bencana alam yang berlaku kelmarin, ramai penduduk bandar dan kampung di pulau Indonesia itu kehilangan segala-galanya daripada harta benda, tempat tinggal hinggalah sanak saudara.
Dalam kejadian gempa di Bengkulu, Sumatera kelmarin yang disusuli berpuluh-puluh gegaran kecil yang masih berterusan sehingga hari ini, banyak infrastruktur di sana rosak termasuk jalan raya, sekolah, surau, masjid dan rumah penduduk.
Orang ramai yang ingin menghulurkan derma kepada Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank boleh menyumbang secara tunai atau cek atas nama ‘Tabung Gempa Bumi Nusantara Utusan-Maybank' dan mendepositkan sumbangan itu ke dalam akaun Maybank 514011 000 551 di semua cawangan Maybank di seluruh negara.
Mereka juga boleh mengutip derma di kalangan ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan di pejabat, surau dan masjid sebelum memasukkannya ke dalam akaun Maybank itu.
Cek-cek sumbangan juga boleh diserahkan kepada semua wakil Utusan Malaysia di pejabat-pejabat Utusan di seluruh negara atau mengirimkannya ke Utusan Melayu (M) Berhad, 46M, Jalan Chan Sow Lin, 55200, Kuala Lumpur.
Para penyumbang boleh menghubungi Utusan Malaysia di talian 03-9221 7055 untuk keterangan lanjut mengenai tabung berkenaan. |