|
ARKIB : 26/09/2009 Budak 3 tahun kenal pemimpin, model kereta
Kemampuannya itu menyebabkan ramai yang beranggapan Irfan Mukhriz mempunyai kelebihan luar biasa berbanding kanak-kanak seusia dengannya. "Ini gambar Datuk Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), ini Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan ini Tunku Abdul Rahman," kata Irfan Mukhriz sambil menunjukkan gambar Perdana Menteri Malaysia dan bekas pemimpin negara kepada wakil Utusan Malaysia di rumah datuknya, Ahmad Jaafar di Taman Seri Baling, dekat sini hari ini. Menurut bapanya, Abdul Malek Othman, 38, kebolehan anak bongsunya itu dikesan sejak setahun lalu apabila dia boleh mengenali semua jenis kenderaan sama ada model import atau dalam negara dengan begitu mudah. "Irfan Mukhriz juga dapat mengenali wajah pemimpin walaupun dia masih belum dapat membaca," ujarnya. Bukan itu sahaja, tutur kata dan kepetahan dia bercakap bagaikan orang dewasa sudah cukup menggambarkan kebolehan luar biasa kanak-kanak tersebut walaupun sifat keanak-anakan masih ada dalam dirinya. Kata Abdul Malek, bukan sahaja kereta tempatan seperti Proton Saga, Gen-2, Waja dan Wira mudah disebut Irfan Mukhriz, malah kemampuannya menyebut kereta import seperti Lamborghini, Bentley, Bugatti Veyron, Ferrari, Volkswagen dan kereta lasak dengan tepat, seakan-akan dia adalah seorang peminat kereta yang sudah lama terlibat dalam bidang pemotoran. Berikutan minat anaknya terhadap semua jenis kereta itu, Abdul Malek yang merupakan seorang ahli perniagaan sering membeli buku permotoran untuk Irfan Mukhriz. Ternyata usaha Abdul Malek tidak sia-sia apabila anaknya lebih mengetahui dunia kereta bagaikan orang dewasa yang mampu memandu kereta berkenaan. Tambah beliau, anaknya bukan sahaja suka bertanya mengenai selok belok kereta malah apabila menunjukkan gambar pengkritik sukan permotoran, Jeremy Clarkson, dia seperti sudah lama mengenali individu itu. Ibunya, Norwahida Ahmad, 31, pula berkata, anaknya itu mampu mengingati apa sahaja perkataan baru walaupun selepas lima bulan mengenali perkataan tersebut. "Apabila kami menyebut perkataan yang baru dia begitu mudah mengingati walaupun selepas lima bulan berlalu," ujarnya. Kata ahli perniagaan itu, kebolehan mengenali pemimpin negara ada kaitan dengan kegemarannya menyimpan dan memegang Jalur Gemilang setiap masa. "Setiap kali dia keluar, Jalur Gemilang tidak akan lekang daripada tangannya," katanya. Sementara itu neneknya, Che Bashah Ahmad, 51, pula berkata, dia seperti tidak mempercayai kebolehan cucunya menyebut pemimpin negara dan nama-nama kereta itu. "Mungkin kerana kemampuannya mengingati sesuatu gambar dengan cepat membolehkan dia menyebut nama pemimpin negara dan model kereta itu," ujarnya. TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Pelajar dinasihat jangan bertindak balas
Bawa pulang duta Malaysia Jangan mudah jadi ‘pak turut’ Kejayaan NKRA bukti jalinan hubungan baik KDN, PDRM Aidilfitri disambut esok Tiada aduan peniaga langgar peraturan harga Warga Felda cipta sejarah baru Masalah air ammoniaselesai Jumlah laman web digodam naik mendadak Keluarga sedih anak perempuan ikut kekasih ke Lombok Warga Indonesia mula pulang Anugerah ICT NEF
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
BANCIAN
IKLAN@UTUSAN
IKLAN@UTUSAN
Utusan Online on Facebook
|