VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 Julai 2014 / 25 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 25/08/2010

Isu gender punca wanita ditindas


Kebanyakan kes pembunuhan ke atas wanita dilakukan oleh individu yang mengenali mangsa.


WANITA hari ini merupakan pejuang dan pemimpin untuk hari esok! Kata-kata tersebut kedengaran agak retorik tetapi tetap relevan sementelah di sana sini suara wanita terus bergema dalam memperjuangkan kedudukan mereka dalam masyarakat.

Wanita berjaya dengan usaha dan kudrat mereka. Tidak dinafikan pencapaian golongan ini dalam segenap aspek, kerjaya, kerohanian, rumah tangga, pendidikan dan sebagainya sudah jauh ke depan.

Bagaimanapun kejayaan ini masih dibatasi khususnya melibatkan isu-isu berkaitan gender.

Golongan wanita masih tidak dapat lari daripada isu-isu seperti keganasan rumah tangga, permerdagangan manusia, penganiayaan terutama hak sebagai isteri dan gejala membuang bayi.

Malah awal bulan ini saja tiga kejadian keganasan ke atas wanita iaitu suri rumah diikat dan dibunuh suami di Teluk Intan, Perak, manakala di Hulu Terengganu sekeluarga disimbah asid dan di ibu negara seorang wanita warga Indonesia dibunuh suami, sudah cukup untuk menggusarkan sesiapa saja.

Tidak boleh lagi diketepikan sebagai kes terpencil, sebaliknya perlu dicari jalan penyelesaian agar ia tidak menjadi halangan kepada gerakan membangunkan golongan wanita dalam apa juga bidang.

Justeru sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang diraikan setiap 25 Ogos, isu-isu harus direnungkan dengan mendalam oleh pelbagai pihak terbabit.

Pengerusi Kolisyen Ekonomi dan Pengguna, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Dr. Husna Sulaiman berkata, isu wanita dalam masalah sosial adalah masalah yang berasaskan gender.

Katanya, semua masalah ini berakar umbi daripada fahaman masyarakat terhadap kedudukan dan darjat wanita yang dipandang rendah daripada lelaki.

''Fahaman ini merupakan satu ideologi gender (social construction) atas perhubungan dari segi peranan dan fungsi antara kaum lelaki dan wanita yang diperakui, ditentukan dan sudah diamalkan oleh masyarakat berabad-abad atau berkurun-kurun lamanya,'' katanya.

Beliau yang juga Felow Penyelidik, Institut Kajian Gerontologi, di Universiti Putra Malaysia menjelaskan, pengaruh ideologi gender masih kuat membelenggu kehidupan masyarakat di negara ini yang juga meliputi semua kaum dan etnik di seluruh dunia.

Katanya, seseorang lelaki atau wanita mungkin berpelajaran dan berjawatan tinggi tapi masih lagi mempercayai (mungkin tidak sehebat generasi tua sebelum ini) ada bezanya dalam perhubungan di antara lelaki dan wanita.

''Banyak faktor yang menyebabkan seseorang lelaki menjadi ganas dan sering menganiaya dan mengeksploitasi kaum wanita.

''Begitu juga kaum wanita yang sering menjadi mangsa, mereka mungkin terdesak, terlalu takut hingga sanggup membuang bayi,'' jelasnya.

Beliau menambah, dalam hal seperti itu kaum lelaki dikatakan ganas, terlalu ego manakala kaum wanita pula terlalu pasif, takut dan tidak berani melawan demi menjaga maruah diri.

Katanya, sifat-sifat begitu adalah hasil daripada asuhan dan kepercayaan ibu bapa dan masyarakat yang di asaskan kepada ideologi gender.

Jelas Husna, sebagai contoh, anak lelaki yang sentiasa melihat bapanya mengherdik, memarahi si ibu akan berkemungkinan besar memperlakukan perkara yang sama terhadap wanita kerana sejak dari kecil dia telah dididik sebegitu yang dilihat sebagai satu perkara yang normal dalam kehidupannya.

Manakala, bagi kaum wanita pula mereka 'takut' melawan suami kerana salah faham atas konsep suami sebagai 'ketua isi rumah' dalam ajaran Islam.

Begitu juga dengan agama lain. Penganut mereka juga disuruh patuh, taat dan bergantung kepada suami atau kaum lelaki.

Justeru, apakah yang perlu dibuat untuk mengatasi perkara- perkara ini daripada terus berlaku?

Saran Husna, masyarakat perlu diberi kesedaran untuk menghakis fahaman gender yang lapuk di dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.

Katanya, pengaruh gender boleh dihakis melalui pelbagai program kesedaran atau prihatin gender.

''Program ini juga perlu dibantu oleh para pendakwah yang dapat menyemai kesedaran betapa ajaran Islam mengajar erti nilai kasih sayang dan saling hormat-menghormati, bukannya membezakan martabat antara lelaki dan wanita.

''Islam juga memberikan hak untuk golongan wanita membangunkan diri,'' tegasnya.

Husna meminta golongan wanita meningkatkan daya pengupayaan atau memperkasakan diri berlandaskan pegangan nilai murni melalui peningkatan maklumat dan pengetahuan, kemahiran, kaunseling, terapi serta meningkatkan keyakinan diri dan diberi peluang untuk membuat keputusan sendiri.

Justeru, dalam hal ini amat penting bagi wanita mempunyai sumber pendapatan supaya dia tidak terlalu bergantung kepada suami.

Bagi anak remaja pula, mereka perlu diberikan pendidikan seks atau reprodukif dan keyakinan diri untuk berdaya menolak segala gejala buruk yang mungkin berlaku.

''Wanita daripada golongan muda yang mempunyai pendidikan tinggi boleh juga berjaya sebagai isteri, ibu dan pekerja sekiranya mereka dapat memperkasakan diri.

''Untuk memperkasakan diri, ciri-ciri dan kemahiran bagi mengimbangi dunia dan akhirat perlu dibangun, disemai dan diamalkan,'' tegasnya.

Tambahnya, antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada setiap golongan wanita dan perlu disemai sejak awal ialah ajaran agama dan nilai-nilai murni sejagat bagi semua agama supaya mereka dapat memilih antara yang baik dan buruk, antara yang betul dan salah dan memiliki akhlak mulia.

Mereka juga perlu memiliki pengetahuan, maklumat terkini, kemahiran terutama kemahiran abad ke-21 yang bersifat lebih kreatif, inovatif, kemahiran ICTY, termasuklah kemahiran keibubapaan.

''Mereka juga perlu memiliki kecekapan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Boleh berkomunikasi dan berani bersuara, mampu memberi pandangan kepada majikan, masyarakat, para pendakwah, suami dan lain-lain.

''Golongan wanita perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi. Pengupayaan boleh tercapai sekiranya wanita ada sumber pendapatan sendiri, agar mereka tidak akan bergantung kepada sesiapa," tegasnya.

Husna juga memberitahu, untuk berjaya di tempat kerja, golongan ini juga memerlukan sokongan daripada kerajaan dan majikan dengan melaksanakan dasar dan strategi yang boleh mengimbangi antara kerja, keluarga dan kehidupan mereka (Work-Life-Family Balance).

''Setiap strategi dan dasar dalam organisasi pula mestilah berpandukan kepada yang 'mesra-keluarga', 'mesra-pekerja' dan 'mesra gender atau gender sensitif'.

''Antara contoh strategi-strategi itu ialah keseimbangan dalam masa kerja, peraturan kerja (kerja di rumah atau di pejabat dalam pelbagai bentuk), kemudahan penjagaan bayi, kanak-kanak pra dan selepas sekolah, kemudahan kaunseling, kursus kebapaan untuk bapa dan sebagainya,'' ujarnya lagi.

Bagaimanapun kata Husna, apa yang penting untuk merealisasikan keseimbangan ini, syaratnya, para majikan perlu memahami apa itu gender dan memudahkan pekerja sama ada lelaki atau wanita untuk kerja dengan lebih cemerlang.

Dalam masa yang sama, majikan juga turut membantu memberi sokongan kepada kursus keibubapaan dan peluang bagi ibu dan bapa yang bekerja meningkatkan kualiti masa mereka untuk berinteraksi dengan ahli keluarga.

Sebelum mengakhiri bicara, Husna sempat mengucapkan salam Hari Wanita untuk semua wanita dengan menitipkan harapan.

''Tanggal 25 Ogos merupakan Hari Wanita. Semoga setiap wanita akan berusaha meningkatkan pembangunan dan memperkasakan diri mereka dari semua aspek untuk menjadi pekerja, isteri dan ibu atau bakal ibu yang cemerlang,'' katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:46
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.