VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Oktober 2014 / 7 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 03/08/2009

Ilmu borong barang dari China


Produk dari China semakin mendapat tempat di kalangan wanita tempatan kerana harganya yang lebih murah.


SIKAP ambil mudah perlu dikikis dalam diri setiap peniaga yang mengambil barangan jualan dari negara China kerana ia sebenarnya hanya melambatkan peluang untuk bergelar usahawan kaya dan berjaya.

Lazimnya pengusaha seperti ini memilih jalan singkat dengan menyerahkan wang kepada orang tengah yang meraih 'untung atas angin' sedangkan mereka sendiri boleh terus memborong di negara tersebut.

Tidak kurang juga yang membeli dari orang tengah kerana mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan bagaimana hendak menjalankan perniagaan bercorak import tersebut.

Jika pun dapat pergi ke China tetapi sudah tentu mereka akan mengetahui bagaimana cara yang betul untuk berurusan di negara orang itu.

Masalah kedai mana yang patut dituju, ditipu penjual, sesat di tempat baru, urusan penghantaran melalui kontena dan kastam, masalah mata wang dan sebagainya adalah punca mengapa ramai usahawan tempatan hanya sekadar mampu membeli dari orang tengah di negara ini.

Sebenarnya, anda belum terlewat untuk mengubah persepsi tersebut kerana unit Mega, dengan kerjasama pengendali kursus pemborong luar negara berpengalaman Anzac Consultancy akan menganjurkan kursus sehari pada 15 Ogos ini.

Penasihatnya, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, beliau terpanggil untuk mewujudkan bengkel ini selepas mengetahui ramai usahawan tidak mempunyai ilmu selengkapnya tentang cara memborong barang terus dari China atau Vietnam.

"Ada juga yang ditipu atau dipermainkan orang tengah semata-mata kerana mereka tidak mengetahui keadaan sebenar di negara barangan yang mereka import.

"Yang sering menjadi mangsa ialah usahawan kecil Bumiputera dan apabila mereka pilih salah saluran maka keuntungan akan terjejas, sedangkan mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih baik.

"Kursus ini menjurus kepada ilmu borong di China kerana ketika ini negara tersebut menjadi tumpuan peniaga import disebabkan beberapa faktor. Antaranya, produk yang murah, kos buruh rendah dan barangan mentah mudah didapati dalam volum yang besar," jelasnya.

Shahabudeen berkata, dalam kursus sehari itu peserta akan diberitahu rahsia bagaimana usahawan boleh terus mendapatkan apa yang mereka inginkan dalam perniagaan.

"Kami akan memberitahu tentang cara urusan tiket perjalanan pergi balik dan ke mana hendak dituju setelah sampai di sana kelak.

"Di China terdapat banyak plaza dan tiga pusat pemborong utama sedunia ialah di daerah Guangzhou, Shenzen dan Yiwu. Setiap plaza menjual pelbagai kategori barangan dan peniaga boleh memilih mana-mana plaza yang berkaitan dengan perniagaan mereka tanpa perlu membuang masa," katanya.

Terdapat pelbagai jenis barangan boleh dibeli dari sana seperti barangan tekstil, aksesori perhiasan rumah, perabot dan sebagainya.

Shahabudeen mengakui idea mewujudkan kursus ini pada asasnya ialah untuk menggalakkan Bumiputera tidak kira lelaki atau mahupun wanita menjadi usahawan berjaya.

"Usahawan yang mengetahui jaringan yang betul di China boleh mendapatkan barang dengan murah, kemudiannya boleh terus pergi ke bahagian label, pembungkusan dan seterusnya membawa balik ke Malaysia untuk jualan atas nama syarikat mereka sendiri," ungkapnya.

Bagaimanapun, antara masalah yang sering dihadapi usahawan yang pergi ke China ini ialah untuk mendapatkan makanan yang halal, duit palsu dan komunikasi.

"Di sana naik teksi pun boleh mendatangkan masalah kalau kita sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju. Jadi dalam kursus ini kami berikan alamat-alamat hotel, plaza, kilang dan sebagainya dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan China.

"Dari segi urus niaga pembelian barangan pula, usahawan perlu mengambil inisiatif untuk mengira, memeriksa barangan yang dibungkus pemborong kerana sikap lewa anda akan membuatkan penjual mengurangkan jumlah barangan ataupun meletakkan pakaian yang tidak dipesan di dalam bungkusan.

"Pernah ada kes seorang peniaga pakaian wanita memesan blaus tangan panjang tetapi peniaga mencampurkan dengan blaus tangan pendek, jika ini berlaku segeralah minta mereka menukar secepat mungkin.

"Dari segi masalah komunikasi pula, jika anda mahukan penterjemah boleh diaturkan tetapi jangan bimbang kerana kebanyakan peniaga di sana juga semakin mahir berurusniaga dalam Bahasa Inggeris asas.

"Sekiranya anda masih berhadapan dengan masalah yang sukar diselesaikan sendiri, jangan khuatir kerana kami juga mempunyai wakil di sana," tambahnya.

Shahabudeen berkata, selesai pembelian, usahawan boleh memilih beberapa pilihan pengangkutan untuk membawa barang belian mereka ke Malaysia.

"Boleh pilih pengangkutan melalui udara atau laut tetapi disarankan menggunakan pengangkutan laut kerana ia lebih murah walaupun ia lambat sedikit.

"Jika ada usahawan yang membeli sedikit saja barang, jangan bimbang kerana kontena juga menyediakan ruang mengikut sekecil satu kubik per meter saiz barangan mereka.

"Sampai ke Malaysia, barangan perlu melalui prosedur kastam seperti biasa dan barangan akan dihantar terus ke premis perniagaan anda," ujarnya.

Selain urusan pembelian langsung, dalam kursus tersebut juga akan merungkai permasalahan pembelian menerusi Internet serta kemusykilan usahawan tentang akta hak cipta.

"Modul kursus juga menyelitkan sesi kelas Bahasa Cina untuk asas jual beli jadi usahawan yang akan ke sana akan lebih yakin," jelasnya.

Maklumat lanjut mengenai Anzac Consultancy dan kursus yang akan diadakan nanti boleh diperoleh dengan mengunjungi laman web www.kursusborongchina.com.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:05
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.