|
Johor catat 687 kes chikungunya
Johor catat 687 kes chikungunya
JOHOR BAHRU Sebanyak 687 kes penyakit chikungunya dilaporkan sepanjang April hingga 9 Ogos lalu yang melibatkan 49 lokasi di negeri ini.Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Khairi Yakub berkata, kes tersebut dikesan di semua daerah di negeri ini kecuali daerah Mersing.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kematian direkodkan.
"Penyakit tersebut mula dikesan di Kampung Ulu Choh, di sini pada April lalu. Daripada jumlah tersebut hanya 17 kes dimasukkan ke wad,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebanyakan kes telah dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah yang dijalankan oleh pasukan kesihatan di setiap daerah.
DisebarkanKatanya, maklumat mengenai wabak chikungunya telah disebarkan melalui klinik serta hospital kerajaan dan swasta termasuk pejabat kesihatan daerah.
Dr. Khairi memberitahu, chikungunya adalah penyakit berjangkit bawaan vektor disebarkan oleh nyamuk aedes terutamanya aedes Aegypti yang mengandungi virus chikungunya.
''Simptom chikungunya adalah demam yang kuat, ruam pada tangan, kaki dan badan, sakit kepala, mata merah, loya serta muntah dan gejala yang ketara adalah sakit-sakit sendi di hujung jari, pergelangan tangan, buku lali dan rasa nyilu pada tulang,'' katanya.
Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan langkah-langkah kawalan melalui pengesanan kes dari rumah ke rumah dan memberi rawatan.
Maklumat lanjut mengenai penyakit berkenaan boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan Chikungunya Johor di 07-2342393 (masa pejabat) atau merujuk kes di hospital atau klinik berdekatan.
|