|
Kerajaan akan pertimbang cadangan pengampunan kepada PATI, kata Musa
Kerajaan akan pertimbang cadangan pengampunan kepada PATI, kata Musa
25/07/2008 6:41pm
KOTA KINABALU 25 Julai — Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan memberi pengampunan terakhir kepada pendatang tanpa izin (PATI) sebagai langkah menangani masalah PATI di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
“Apa juga cadangan akan kita imbang... kerana kita memerlukan pandangan-pandangan umum, rakyat, dari badan bukan kerajaan (NGO).
“Kita mengalu-alukan pandangan mereka dan kita akan kaji (cadangan itu),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 22 unit rumah kepada warga fakir dan miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri Karambunai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan sebuah NGO, Badan Kebajikan Islam (Nebisa) baru-baru ini supaya pengampunan terakhir diberikan kepada PATI di sini supaya mereka boleh balik ke negara asal secara sukarela dan kerajaan boleh menjimatkan wang.
Sebuah lagi NGO, Borneo Heritage Foundation yang turut menyokong cadangan itu mahu langkah pengampunan itu dilakukan dalam tempoh spesifik untuk memastikan keberkesanannya.
Ketua Menteri menjelaskan kerajaan memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dalam memastikan pengusiran pendatang tanpa izin dapat dijalankan dengan berkesan.
Tindakan itu untuk memastikan semua pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai surat atau dokumen sah dihantar balik ke negara asal, katanya.
Mengenai cadangan pengurangan levi bagi pekerja asing untuk mengelakkan majikan mengambil PATI sebagai pekerja, Musa berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan perkara itu.
Projek rumah bagi rakyat termiskin itu ditanggung sepenuhnya oleh Affin Islamic Bank Bhd sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.
Penerima yang layak disenaraipendekkan oleh wakil rakyat Karambunai merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Jainab Ahmad. Setiap unit rumah berharga RM24,000 dan mempunyai tiga bilik.
— Bernama
|