|
Kerjasama keenam RTM-RTB terbit sitkom
Kerjasama keenam RTM-RTB terbit sitkom
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

|
PENERBIT dan pelakon sitkom Alamak! Salah Rumah dan Rancang.
|
SELAMA lima tahun berturut-turut Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB) menjalin kerjasama dalam penerbitan sitkom, kini jaringan pakatan dua stesen itu menjengah ke tahun keenam.
Sejak ia dimulakan sejak 2003, sebanyak 10 buah sitkom telah dihasilkan dengan gabungan barisan pelakon terkenal dari Malaysia serta Brunei.
Meskipun hanyalah rancangan berbentuk hiburan ringan, ia sedikit sebanyak berjaya menyatu dan mengakrabkan hubungan masyarakat antara kedua-dua negara berkenaan.
Justeru, ekoran kejayaan itu, dua lagi sitkom bakal diterbitkan untuk tahun ini bagi ditayangkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sambutan ambang Tahun Baru 2009. Sitkom tersebut adalah Alamak! Salah Rumah dan Rancang.
Menurut Pengawal Unit Drama TV RTM, Muhammad Yusoff Osman, hubungan kerjasama antara RTM dan RTB telah bermula sebaik sahaja kedua-dua stesen berkenaan memeterai perjanjian persefahaman pada 1995.
“Kerjasama pertama dilakukan menerusi penerbitan telemovie pada 1996. Namun, untuk penghasilan sitkom, ia hanya bermula pada 2003.
“Setiap tahun, lokasi penggambaran akan bertukar dan untuk tahun ini, ia dijalankan di Malaysia,” katanya pada sidang media memperkenalkan barisan pengarah serta pelakon Malaysia dan Brunei yang bakal membintangi kedua-dua sitkom berkenaan.
Ujar Muhammad Yusoff, penerbitan sitkom merupakan salah satu cabang seni yang terkandung dalam hubungan persefahaman antara RTM dan RTB.
Selain sitkom, jelasnya, kedua-dua stesen terbabit turut bersama menghasilkan dokumentari, drama, telemovie, konsert serumpun dan beberapa lagi rancangan bercorak hiburan.
Menyambung bicara mengenai penerbitan sitkom, beliau menjelaskan, antara sitkom yang telah dihasilkan secara bersama RTM-RTB ialah Tak Syiok dan Salah Faham pada 2004, 2005 (Besan Malam Raya dan Salah Faham), 2006 (Buah Pinggang dan Nasi Katok) serta 2007 (Sesal dan Forum).
“Bagi tahun ini, penggambaran Alamak! Salah Rumah dan Rancang akan dilakukan di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
“Penggambaran berlangsung sehingga 28 Jun ini. Penyiaran kedua-dua sitkom berkenaan mengambil masa selama 30 minit,’’ jelasnya.
Katanya, persiapan dalam penghasilan dua sitkom itu telah bermula sejak hujung tahun lalu dengan pertemuan pertama antara RTM dan RTB diadakan pada Februari lepas.
“Ketika pertemuan pertama tersebut, kita telah membuat keputusan mengenai sitkom yang akan diterbitkan hasil daripada kerjasama kedua-dua negara nanti,’’ tambahnya.
Alamak! Salah Rumah misalnya membariskan pelakon dari Malaysia iaitu Azahan Rani sebagai Hasyim, Sheila Mamboo (Rosnah), Zaibo (Dollah) dan Norlia Ghani (Makcik).
Bagi Brunei pula, pelakon mereka yang akan membintangi sitkom tersebut terdiri daripada Shamrin Abd. Latif yang memegang watak Amran diikuti Yahya Berudin (Roy) dan Saabarina Awang Bohkri (June). Ia akan diarahkan bersama oleh wakil RTB iaitu Jauyah Chuchu.
Mengisahkan tiga sahabat diketuai Amran dari Brunei yang ingin beraya di rumah kenalan lama mereka. Dia berlagak pandai dan mendakwa mahir mengenai jalan di Semenanjung Malaysia.
Setelah melalui pelbagai cabaran, mereka akhirnya sampai ke destinasi yang dituju tetapi terlepas untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri.
Namun, apa yang menyedihkan, rumah yang dikunjungi oleh ketiga-tiga sahabat tersebut bukanlah rumah rakan mereka.
Bagi sitkom Rancang pula, Malaysia dibarisi pelakon Maya sebagai Jen, Munir (Osman), Ropie Cecupak (Jamal) dan Zaibo (Pak Teh).
Pelakon Brunei pula adalah Shamrin yang memegang watak Remy, Halimah Awang Suhaili (Mas) dan Saabarina sebagai Ina.
Rancang yang merupakan arahan Noraziah Zakaria dari RTM menceritakan Jen yang merancang untuk menyambut tahun baru di tempat lain namun tidak diendahkan oleh kawan-kawannya.
Sementara itu, skrip kedua-dua sitkom tersebut merupakan karya Jefri Talib.
|