|
Daim mahu perluas operasi ICB ke Laos, Malawi
Daim mahu perluas operasi ICB ke Laos, Malawi
KUALA LUMPUR 18 Jun - ICB Financial Group Holdings Ltd. (ICB), yang dikuasai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, merancang mengembangkan operasi perbankan komersialnya ke Laos dan Malawi.
Pengarah Eksekutifnya, Harith Harun berkata, pihaknya akan membuka empat buah bank iaitu masing-masing dua di Laos dan Malawi menjelang akhir tahun ini bagi bagi memperkukuhkan rangkaian jaringan banknya di peringkat global.
Beliau berkata, dua negara berkenaan menjadi pilihan ICB dalam perluasan operasinya memandangkan ia sedang memberi fokus kepada pasaran ekonomi yang sedang membangun pada hari ini.
"Kami telah pun mendapat lesen daripada bank pusat kedua-dua negara itu dan ia merupakan bank komersial yang 100 peratus dimiliki oleh ICB.
"Jumlah pelaburannya adalah berdasarkan keperluan modal di negara berkenaan tetapi apa yang boleh saya katakan ialah jumlah pelaburan di Laos lebih banyak dari Malawi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis memeterai perjanjian antara ICB dan SAS Malaysia, di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah Perkhidmatan Profesional, SAS Malaysia Yip Yoke Ling.
ICB kini memiliki dan menguruskan bank komersial di 12 buah negara termasuk di Asia, Afrika dan Eropah Timur.
Kata Harith, ICB yang beroperasi sejak 1994 dan disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London mempunyai 130 buah cawangan bank.
Ditanya sama ada ICB akan mengembangkan lagi operasi selain apa yang diumumkan itu, beliau menambah, pihaknya akan terus meninjau pasaran baru dan beberapa negara Asia kini berada dalam perancangannya.
Harith juga berkata, ICB akan terus melakukan pelaburan di luar negara namun berdasarkan perancangan rapi yang dilakukan syarikat.
Mengulas desas-desus mengatakan Daim akan menjual kepentingannya dalam ICB, beliau enggan memberi sebarang komen kerana tidak mempunyai hak berbuat demikian.
"Soalan ini patut ditanya kepada pemegang saham," katanya.
Daim kini memiliki sebanyak 151,844,00 unit saham dalam ICB yang mewakili kepentingan 84.4 peratus.
Terdahulu pada majlis memeterai perjanjian itu, ICB telah melantik SAS Malaysia, penyedia rumusan dan perisian pintar perniagaan yang berpusat di Amerika Syarikat, untuk membantu memantapkan operasi perbankan syarikat ke tahap yang lebih baik di seluruh dunia menerusi pejabat pengurusan ICB, di sini.
Harith berkata, ICB melabur sebanyak AS$2 juta (RM6.5 juta) bagi penyediaan kelengkapan Penyelesaian Pintar Perbankan SAS dalam tempoh antara enam hingga sembilan bulan.
|