|
RM27.6j rebat tunai dibayar hari kedua
RM27.6j rebat tunai dibayar hari kedua
Oleh ASSIM HASSAN

|
Orang ramai membanjiri Pejabat Pos Taman Maluri di Kuala Lumpur untuk mendapatan rebat tunai, semalam.
|
KUALA LUMPUR 15 Jun - Sebanyak RM27.6 juta tuntutan re- bat tunai subsidi petrol dan diesel dibayar pada hari kedua menerusi 138 pejabat pos terpilih yang dibuka hari ini.
Menurut kenyataan Pos Malaysia di sini hari ini, setakat pukul 5 petang ini, seramai 59,154 pemilik kenderaan persendirian yang layak menuntut rebat tunai tersebut di pejabat-pejabat pos seluruh negara.
Kata kenyataan itu, Pos Malaysia akan terus memberi perkhidmatan terbaik di semua peringkat kepada orang ramai bagi membolehkan transaksi pembayaran dilakukan dengan lebih berkesan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar ibu negara mendapati para pemilik kenderaan persendirian mengambil peluang cuti hujung minggu menyerbu beberapa pejabat pos terpilih yang dibuka.
Antara pejabat pos itu adalah Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, pusat membeli-belah dan beberapa pasar raya yang diserbu oleh pemilik kenderaan sejak pukul 8.30 pagi lagi.
Seorang guru, Noraini Abdul Manan, 44, berkata, beliau tidak berpeluang untuk mengambil rebat tunai itu semalam kerana tuntutan kerja dan memanfaatkan hari ini untuk menuntutnya.
Jelasnya, pemberian subsidi tersebut dapat mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dengan krisis kenaikan harga minyak.
''Pada masa yang sama, ia memberi galakan kepada sesetengah individu yang enggan melunaskan cukai jalan supaya melunaskannya," katanya ketika ditemui di sebuah pejabat pos di sini hari ini.
Juruteknik, P. Muniardi, 32, berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan subsidi itu kerana ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat sebelum ini.
''Kerajaan sangat prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat dan kita pula seharusnya bersyukur dan mengatur perbelanjaan harian dengan berhemah," ujarnya.
Jelas Muniardi, buat masa ini, subsidi yang diberikan mencukupi dan wang itu akan disimpan untuk perbelanjaan yang melibatkan kenderaannya seperti minyak dan bayaran ansuran kereta.
Kontraktor, Loo Fay You, 43, berkata, beliau yang tidak mengetahui berkenaan pemberian rebat tunai itu semalam turut menyifatkan tindakan kerajaan itu merupakan satu langkah bijak bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
''Walaupun subsidi yang diberikan tidak mencukupi, tetapi saya bersyukur dengan pemberian itu dan wang ini akan digunakan untuk menampung kos harga petrol yang mahal," katanya.
Seorang eksekutif pusat membeli-belah, Mohd. Rozi Jusoh, 36, pula berkata, langkah pemberian subsidi ini juga menunjukkan sikap prihatin kerajaan terhadap rakyat.
''Layanan serta kecekapan pengurusan pihak pejabat pos juga sangat me- muaskan dan saya hanya perlu beratur dalam masa setengah jam, manakala proses di kaunter pula begitu pantas iaitu mengambil masa antara satu hingga tiga minit sahaja,'' jelasnya.
|