Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






DALAM NEGERI

Bantuan kemanusiaan Malaysia tiba di Sichuan

Bantuan kemanusiaan Malaysia tiba di Sichuan

Daripada Tan Ming Wai
- Utusan

CHENGDU 10 Jun - Delegasi pertama misi penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk mangsa gemba bumi di Sichuan, China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Shuangliu di sini pukul 8.07 pagi ini.

Penerbangan dua buah pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengangkut sejumlah 26 tan barangan itu mengambil masa hampir 10 jam untuk tiba di sini.

Barangan yang dibawa merangkumi khemah, peralatan perubatan, ubat-ubatan serta selimut.

Delegasi seramai 48 orang yang diketuai Setiausaha Bahagian Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri, Ogu Salim Omar berlepas dari Pangkalan TUDM Subang pada pukul 9.50 malam, semalam.

Dua pesawat tersebut turut berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi, Vietnam untuk pengisian semula minyak pada pukul 3 pagi sebelum meneruskan perjalanan satu jam setengah kemudian.

Majlis penyerahan bantuan itu telah dilakukan oleh Ogu Salim kepada Timbalan Pengarah Jeneral Jabatan Hal Ehwal Luar Wilayah Sichuan, Tang Hong, dalam satu majlis sederhana yang turut disaksikan Konsul Jeneral Malaysia di China, Ayauf Bachi.

Majlis berkenaan yang berlangsung kira-kira 15 minit turut mendapat liputan daripada beberapa wakil media tempatan.

Gempa bumi sekuat 7.9 pada skala Richter pada 12 Mei lalu merupakan yang terburuk di China sejak tiga dekad lalu dengan menyebabkan angka kematian mencecah 68,977 orang, 17,974 orang dilaporkan hilang dan 45.55 juta yang lain hilang tempat tinggal.

Tang Hong ketika ditemui pemberita Malaysia melahirkan rasa penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana bantuan itu tiba tepat pada masanya.

"Bantuan ini akan kami agihkan segera kepada mangsa-mangsa yang masih berkampung di kawasan teruk terjejas," jelasnya.

Ayauf pula berkata, bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira RM4.8 juta itu merupakan antara jumlah terbesar yang pernah dihantar Malaysia ke China.

"Usaha ini membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua negara dan tanda persahabatan ini pastinya memberi kesan positif pada masa hadapan," jelasnya.

Delegasi Malaysia akan bermalam di Kunming sebelum berlepas pulang pada pukul 9 pagi esok.

Delegasi kedua dijangka menyusul dengan barangan bantuan seberat 10.5 tan beberapa hari lagi.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN