|
Kesal iklan Barat gambarkan Melayu pengganas
Kesal iklan Barat gambarkan Melayu pengganas
MINGGU lepas ketika saya menonton filem di panggung wayang, saya amat terkejut melihat satu iklan kepunyaan Royal Marines Commando Kerajaan Britain.
Iklan yang bertujuan menarik minat rakyat Britain untuk menyertai pasukan tersebut telah menggunakan 'pelakon' yang menggunakan bahasa Melayu sebagai watak kumpulan pengganas.
Dengan berlatarbelakangkan suasana seperti mereka baru sahaja menyelesaikan 'operasi keganasan' (menunjukkan keadaan yang kacau-bilau dengan helikopter yang terhempas dan terbakar), 'ketua' kumpulan pengganas tersebut menembak-nembak ke udara sambil menyatakan dengan jelas dalam bahasa Melayu, "Akulah orang yang paling jahat dalam dunia ini. Mari lawan aku. Aku akan bunuh semua'.
Saya kemudiannya memasuki laman rasmi Royal Marines Commando (http://www.royalmarines.mod.uk/server/show/nav.6898#) dan mendapati iklan 30 saat itu turut boleh dilayari dan ditonton di halaman utama laman berkenaan.
Sehinggakan, link dan URL video tersebut turut disediakan agar ia boleh dikongsi dengan pengguna lain. Saya berasa kesal dan marah kerana orang Melayu seolah-olah digambarkan sebagai pengganas dalam iklan berkenaan.
Jika didengari betul-betul, loghat pelakon tersebut bukanlah loghat dalam bahasa Melayu Indonesia tetapi bahasa Melayu Malaysia dan 'ketua kumpulan pengganas' tersebut pula mempunyai iras wajah Melayu.
Namun walau apa jua loghat dan rupa wajahnya, tindakan menggunakan bahasa Melayu bagi menggambarkan peranan kumpulan pengganas dalam iklan tersebut sesuatu yang tidak boleh diterima langsung.
Bukan sekadar bahasa Melayu malah apa jua bahasa di dunia ini. Bayangkan kesannya kerana iklan tersebut ditayangkan sebagai selingan di kesemua panggung-panggung wayang utama di UK dan mungkin juga di televisyen.
Memandangkan iklan tersebut merupakan iklan rasmi Kementerian Pertahanan Britain, saya menyeru agar Kementerian Pertahanan Malaysia dan juga Kementerian Luar menyiasat perkara ini dan mengarahkan agar iklan tersebut ditarik balik dengan permohonan maaf.
Bangsa Melayu bukan bangsa pengganas dan kita tidak pernah menjajah negara lain seperti bangsa mereka.
Saya juga memohon siasatan dapat dibuat terhadap suara siapakah yang dipinjamkan dalam iklan tersebut dan adakah iklan tersebut mendapat kerjasama atau bantuan dari mana-mana syarikat pengiklanan tempatan.
ISMARIAH ZAINAL ABIDIN
University Of Sheffield
United Kingdom
|