Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






SASTERA

Khatimah sebuah ekstradisi

Khatimah sebuah ekstradisi

ANDAI bukaan bersaiz tapak tangan itu dapat dianggap sebagai tingkap, saya sudah boleh dikatakan bertuah, setidak-tidaknya masih ada udara baru yang dibekalkan untuk mengganti bau lokap yang kepam dan mangkuk tandas yang tidak bercuci. Saya dongak, memandang bukaan pada dinding batu yang membataskan setiap pergerakan dan perhubungan dengan manusia di luar. Nyanyian sayup daripada gereja berdekatan memberi pengertian bahawa sinaran yang telus melalui 'tingkap' itu adalah salah satu daripada beberapa jalur cahaya matahari hujung minggu.

Ketika itu, ibu langsung tidak mengizinkan. Bukan kerana tidak merestui kasad saya atau tidak berbangga, tetapi yang memberat di hatinya ialah tanah yang mahu saya pijak itu terlalu jauh daripada tanah air. Dan kata ayah pula, udara di sana tidak senyaman hawa di tempat sendiri. Atau setepatnya yang mahu ayah sampaikan, persekitaran hidup di negara itu tidak semurni kehidupan di halaman kami. Gadis kampung dihantar oleh negaranya ke Universiti Oxford sebagai penuntut Sains Biologi pada usia 16 tahun, satu penghargaan istimewa kepada seorang anak yang metah muda!

Pegawai polis di luar enggan melayan permintaan saya bagi mendapatkan bantuan daripada kedutaan sebelum proses soal-siasat disempurnakan, apatah lagi membenarkan saya meminta bantuan guaman. Atau setidak-tidaknya memberi peluang untuk saya menghubungi Peter bagi mendapatkan penjelasannya terlebih dahulu, dengan alasan kes seberat ini langsung tidak boleh dijamin.

Sehinggalah kelmarin, ketika saya dihadapkan ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan yang disediakan oleh Pendakwaraya tanpa diwakili oleh peguam, saya tekad untuk mengaku tidak bersalah. Bagaimana mungkin saya tegar menanggung beban hukuman sedangkan saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi.

Ah, di mana-mana juga serupa! - begitu saya menyanggah pendapat ibu dan ayah hingga kedua-duanya akur juga. Kak Cendera Wasih seakan enggan berpisah dengan saya, satu-satunya saudara yang dia miliki. Katanya sebelum penerbangan saya dengan separuh jenaka untuk memecah suasana perpisahan; "Cendera Hati, segera tamatkan pengajian dan kembali, ya. Congkak tidak boleh dimainkan oleh seorang pemain sahaja."

Bukan saya tidak mahu kembali, tetapi kematian ayah yang dirahsiakan oleh ibu dan Kak Cendera Wasih begitu menyinggung, buat hati saya benar-benar terluka dan terkilan. Saya hanya berpeluang menziarahi pusara arwah ayah ketika pulang bercuti setelah hampir lapan bulan pemergiannya ke daerah barzakh. Terlalu lewat!

"Bukan sengaja dirahsiakan, Cendera Hati. Tetapi kami khuatir pembelajaranmu akan diganggu oleh emosi." Begitu Kak Cendera Wasih menyatakan kewajaran apabila saya mempertikaikan tindakannya dan ibu. Ibu yang duduk di bendul bangkit menuju dapur, seakan memberi peluang bagi Kak Cendera Wasih yang saya akrabi sejak kecil memainkan peranan untuk menenangkan.

"Huh, kalau dari awal Hati ketahui ayah akan pergi, tentu sudah lama maklumat DNA arwah ayah akan Hati simpan untuk pengklonan. Setidak-tidaknya kita masih berpeluang memiliki ayah yang serupa!" Begitu laju saya membentak, dan seringan itu jugalah tapak tangan Kak Cendera Wasih menghala ke pipi saya buat pertama kalinya dalam hayat kami. Matanya terbuntang dengan nafas sedikit berombak. Kak Cendera Wasih mengganda rasa sakit yang sudah berbekas di hati dengan kekasarannya.

"Hati, bukan ini yang kami harapkan daripada pengajianmu di universiti itu!" Kak Cendera Wasih bersuara tinggi, menarik perhatian ibu untuk kembali ke anjung dengan wajah mendamba penjelasan.

"Hati katakan apa yang benar, ayah yang serupa boleh dicipta kembali jika kematiannya boleh dijangkakan terlebih dahulu!" Saya puas apabila dapat menambah marah di hati Kak Cendera Wasih. Saya langkahi bendul menuju kamar dengan hati yang benar-benar terturis sambil sebelah tangan menekup pipi yang pedih.

"Cendera Hati, jangan cabar urusan mutlak milik Tuhan!" Kali ini giliran ibu pula bersuara dengan nada yang sama sambil lemah mengurut-ngurut dadanya dalam dakapan Kak Cendera Wasih.

Tentu, bukan ini yang keluarga harapkan daripada pengajian saya di Oxford, seperti mana saya tidak harapkan bilik tahanan ini sebagai pencatur akhir nasib yang pastinya turut diperkatakan oleh media. Barangkali, ada sedikit makna apabila pagi tadi seorang peguam diterbangkan khusus oleh kerajaan Malaysia datang bertemu saya di sini. Atau mungkinkah ini adalah sebahagian daripada doa-doa ibu yang Tuhan kabulkan?

Simpati"Masyarakat Malaysia menyampaikan simpati dan keluargamu di halaman berkirim salam. Kakakmu tidak dapat ke mari kerana kesihatan ibumu tidak memungkinkan." Peguam itu berhemah memulakan pertemuan kami di sebuah bilik khusus namun masih di bawah kawalan dua orang pegawai polis. Ketika itu jugalah sebak datang bertindih-tindih dan sesal meninggi berlapis-lapis.

"Puan Cendera Hati, ceritakan secara telus bagaimana semuanya terjadi. Saya akan usahakan agar puan diekstradisi supaya kes ini didengar di mahkamah negara kita kerana puan berwarganegara Malaysia." Lelaki bersut hitam itu masih bersuara tenang dengan percakapan yang tersusun. Dia sedia mencatat sesuatu pada beberapa helai kertas di hadapan kami.

"Encik Najib, semua ini tidak akan terjadi pada seorang anak andai mendengar setiap butir hikmah daripada ibunya sejak awal." Tenang saya membalas, hingga peguam itu meletakkan kembali penanya di atas meja.

Hari itu kemuncak musim dingin, hinggakan Broad Street dan sekitarnya diliputi salji yang menggebu di luar kebiasaan. Tanpa kesanggupan Peter bertahan dalam kesejukan ketika membantu mengeluarkan roda pacuan saya yang terbenam dalam ketebalan salji di atas jalan, tentu sekali kami tidak melangsungkan hidup sebagai pasangan muda yang mendiami kawasan Banbury Road di pinggir Summertown. Namun, demi Tuhan, saya lebih sanggup terkandas dalam ketebalan salji itu dahulu daripada terkandas di bilik yang 'tingkap'nya berlangsir gelap seperti ini.

Ahli perniagaan itu bergelar suami saya apabila akhirnya dia bersetuju melangsungkan pernikahan di Central Mosque di tengah-tengah bandar Oxford. Peter, suami yang banyak mengerti perihal rajuk saya dengan keluarga di kampung, sehinggakan dia menjadi pencetus semangat untuk saya terus meneroka bidang pengajian hingga ke peringkat sarjana. Bahkan, kehidupan bersama Peter membuatkan saya sengaja mengabaikan warkah-warkah daripada Kak Cendera Wasih yang terus-terusan membuang ego sebagai seorang kakak dan meminta maaf atas kekasarannya. Seringnya, Kak Cendera Wasih memujuk agar saya kembali ke halaman. Juga, turut mengingatkan bahawa ilmu yang saya pelajari di kuliah atau eksperimen di makmal tidak boleh sesekali mencabar kudrat dan tugas Tuhan sebagai Pencipta Yang Paling Berkuasa biarpun pencapaian saya diiktiraf dan dihargai oleh negara.

Tulis Kak Cendera Wasih lagi; bagaimana papan congkak daripada kayu rambutan yang dibuat arwah ayah yang kami mainkan sejak kecil tidak berbubuk andai sudah lama tidak digunakan. Dan, bagaimana pula ia boleh dimainkan jika tidak berpasangan? Kak Cendera Wasih cuba menggugah dengan pertanyaan; 'lupakah Hati bagaimana kita bersenda di anjung ketika memasukkan satu demi satu biji saga ke setiap lubang 'kampung'? Atau, barangkali Hati sudah lupa bagaimana bijak dan banyak sekalipun Hati meraih biji saga, dan berapa lama sekalipun Hati 'menapak' dari satu 'kampung' ke satu 'kampung', biji saga itu akan tetap kembali dimasukkan ke dalam 'rumah.' Begitu juga denganmu dik, kami tetap doakan agar Hati kembali.'

Ketika ulang tahun kelahiran saya ke-28 yang lalu, Peter hanya menghantar ucapan melalui jambangan bunga dek kesibukannya dengan urusan perniagaan di London. Namun, saya lebih tertarik dengan bungkusan kiriman Kak Cendera Wasih yang sudah dibuka. Di dalamnya terkandung 98 biji saga yang sudah kering beserta sekeping nota yang dilarik kemas dengan tulisannya yang halus - 'Cendera Hati, jumlah biji-biji saga ini akan memenuhi tujuh buah lubang congkak di 'kampung' kita berdua. Betapa nanti ia akan kembali ke 'kampung' dan memenuhi 'rumah'nya.' Ketika itu, kakak tidak lagi berkira andai permainan itu dimenangi oleh Hati.'

Adakah saya sengaja tidak mahu beralah dalam rajuk yang membarah lama ini? Ulangtahun itu, ada satu kelainan dalam perasaan yang menyentuh nubari, namun sengaja tidak saya endahkan. Tindakan dan perlakuan Kak Cendera Wasih dahulu masih sengaja saya ulang-ulangkan dalam ingatan. Namun, kejutan daripada Peter sekembalinya daripada London malam itu mula menukar pendirian. Peter membawa saya ke sebuah restoran mewah untuk makan malam istimewa. Katanya, sebagai penghargaan daripada seorang suami atas keuntungan perniagaannya yang berganda. Di bawah candelier, Peter bertanya buat pertama kalinya dengan renungan bercahaya; "Cendera Hati, tidak rindukah kamu akan keluarga di Malaysia?"

Bukan sesuatu yang aneh apabila saya sedia mendengar saranan Peter pada malam itu berbanding sekian lama penantian Kak Cendera Wasih dan ibu di kampung. Saya mudah sekali bersetuju dengan pujukan si suami untuk kembali menjengah keluarga setelah hampir sembilan tahun membiarkan rajuk memenangi emosi.

Peter bersungguh dan berlapang mengatur penerbangan saya ke Malaysia. Bahkan, turut membantu menyiapkan bagasi serta keperluan lain sepanjang saya berada di Malaysia nanti. Sementelah ketika itu, saya begitu sibuk menyudahkan tesis akhir untuk bergelar sarjana sebelum meninggalkan Oxford. Saya tekad untuk membenamkan rasa malu, marah dan ego bagi membawa kembali kebahagiaan alam remaja yang lalu ke dalam kehidupan dewasa saya kini. Atau setidak-tidaknya, saya perlu pulang sebagai seorang anak yang wajib membawa kembali kebahagiaan untuk seorang ibu. Ya, biji saga kiriman Kak Cendera Wasih akan saya kembalikan ke 'kampung' dan 'rumah'nya.

"Aku akan menyusul kemudian selepas urusan perniagaanku selesai diuruskan dengan stabil." Peter hanya menghantar saya bersama bagasi-bagasi ke Oxford (Kidlington) Airport.

"Biji-biji saga kesayanganmu sudah kuisikan dalam beg ini, sayang." Manis Peter berkata, seraya sebuah beg sederhana besar saya sangkutkan ke bahu tanpa prasangka. Saya membalas lambaian Peter dan bersedia melangkah ke terminal perlepasan dengan harapan ibu dan Kak Cendera Wasih terbuka menerima kepulangan saya.

Tetapi, itulah pemula kepada kecurigaan ini. Bukan ke terminal perlepasan sebagaimana yang dirancang, tetapi ke dalam kurungan menghadapi hari-hari dalam tahanan sebagai seorang tertuduh dalam kes pengedaran dadah melalui jalan udara ke Malaysia. Bagaimana saya begitu percaya bahawa beg yang dikatakan berisi biji saga itu rupa-rupanya mengandungi sejumlah besar heroin. Adakah ini dirancang, dan adakah ini juga dikatakan urusan perniagaan? - itu yang mahu saya tanyakan pada Peter.

MenungguProsedur menjadi penyeksa yang kejam. Setelah berbulan-bulan, saya tidak tahu berapa lama lagi saya perlu menunggu di sini untuk sebuah keputusan dan kepastian. Saya teringatkan renungan Peter pada makan malam terakhir kami, dan berganti dengan mata luhur ibu yang sejujurnya, sudah lama saya rindui. Sepanjang tahanan ini, Tuhan sempat mengajar bahawa kebongkakan saya dalam mengagungkan pengetahuan dan kajian di makmal suatu ketika dahulu sebetulnya satu penderhakaan terhadap-Nya. Bersendirian ketika ini memberi peluang untuk saya meminta-minta dalam doa, biarlah perjalanan saya selepas ini diatur oleh Tuhan di atas denai-denai keadilan kerana itu sahajalah jalan yang ada untuk saya kembali ke pangkuan keluarga.

Bunyi pintu sel berlaga merentap doa saya, dan seorang pegawai polis muncul bersama Encik Najib, peguam yang saya harap-harapkan kebijaksanaannya itu. Kemudian, kami diiringi ke sebuah bilik untuk menyelesakan komunikasi antara klien dan peguamnya.

"Puan Cendera Hati, proses ekstradisi sudah diluluskan atas rundingan kedua-dua negara. Beberapa dokumen ini perlu puan tandatangani." Dia menyua beberapa helai kertas ke hadapan saya bersama senyuman dan saya menyambutnya dalam ketar.

Oktober itu, musim luruh menghantar saya kembali ke Kuala Lumpur dengan penerbangan yang dikhususkan bersama pegawai kedutaan dan beberapa orang pegawai polis. Sebagaimana penerbangan saya ke Oxford dahulu diuruskan oleh kerajaan Malaysia, begitulah juga kembalinya saya ke bumi itu. Bezanya, saya bukan pulang sebagai seorang calon sarjana sebagaimana yang semua harap-harapkan, tetapi sebagai seorang tertuduh yang akan diadili di mahkamah Malaysia untuk satu jenayah antarabangsa.

"Encik Najib, siapa yang menunggu di lapangan terbang, pihak media?" Peguam itu menoleh, seakan mengerti kegusaran yang akan saya hadapi nanti.

"Jangan khuatir." Pendek dia membalas antara sela angin yang diredah pesawat.

"Keluarga saya?"

"Tentu. Ibu dan kakakmu sudah dimaklumkan. Mereka sedia menunggu." Lelaki itu senyum dalam anggukan, cuba menyedapkan hati dan memberi harapan.

Kedua-dua belah tapak tangan yang masih bergari saya tekupkan ke muka. Ada cecair sejuk yang terluyut ke celah-celah jari. Andai pertemuan dengan ibu dan Kak Cendera Wasih adalah khatimah bagi ekstradisi ini, saya sungguh-sungguh bersyukur. Dan, saya masih berharapkan ihsan Tuhan agar menerima doa-doa ibu yang lain, biarpun mungkin antaranya ada yang telah serpih.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN