|
Orang ramai mengeluh beras makin mahal
Orang ramai mengeluh beras makin mahal
KUCHING 22 Mei - Kemelut kenaikan harga beras sudah mula melanda penduduk negeri ini apabila harga bagi semua jenis beras didapati mula mengalami kenaikan sebanyak lima hingga 20 peratus bermula bulan lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pasar raya terkemuka di bandar ini mendapati kenaikan harga itu semakin menjadi-jadi kebelakangan ini apabila harga bagi semua jenis beras didapati naik sebanyak dua kali pada bulan ini.
Harga beras Siam yang sebelum ini dijual pada harga RM21.50 untuk 10 kilogram (kg) telah naik mendadak sehingga RM30.80 dan beras import Vietnam 5 peratus hancur 15kg naik dari RM30 kepada RM35 manakala beras wangi Siam 10kg pula naik dari RM32 kepada RM41.
Beras Jasmin 10kg juga naik dari RM38 kepada RM47 dan beras Thailand pula naik kepada RM41 sekampit.
Sementara itu, beras tempatan seperti beras premium 15 peratus hancur 10kg mengalami peningkatan sebanyak RM4 iaitu dari RM22 kepada RM26 dan beras tempatan Sri Aman naik dari RM19 kepada RM25.30 sekampit.
Seorang Eksekutif pasar raya yang ditemui, Abdul Karim Jahidin, 45, berkata, beliau terpaksa menempah bekalan beras setiap hari bagi memastikan bekalan di kedainya sentiasa mencukupi.
Beliau berkata, pihaknya memesan bekalan beras sebanyak satu hingga dua tan sehari bagi memastikan bekalan beras mencukupi.
''Bekalan beras yang ada baru sampai hari ini dan dijangka hanya dapat bertahan dalam tempoh dua minggu sahaja, malah kemungkinan bekalan tersebut tidak mampu bertahan lama berikutan kakitangan kerajaan mendapat gaji pada hujung bulan ini," katanya.
Abdul Karim berkata, situasi kenaikan harga beras akan bertambah buruk sekiranya bekalan yang ditempah tidak mengikut jadual.
Beliau menambah, kenaikan tersebut terpaksa dibuat berikutan tindakan pengilang dan pemborong menaikkan harga barangan tersebut dengan alasan kenaikan harga beras di pasaran dunia.
Dalam tinjauan itu, Utusan Malaysia mendapati orang ramai mengeluh mengenai kenaikan harga beras yang semakin ketara.
Kakitangan kerajaan, Tuanku Kelana Syed Bujang, 41, yang ditemui memberitahu, dia amat kecewa kerana kenaikan harga beras itu sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan hariannya.
''Tidak boleh tidak, saya terpaksa membeli beras itu pada harga baru kerana beras adalah makanan ruji orang Melayu yang sukar dipisahkan.
''Kerajaan harus bertegas dalam usaha penguatkuasaan bagi menghalang peniaga menaikkan harga beras dan menjadikan beras ini sebagai barang kawalan," katanya di sini baru- baru ini.
Tuanku Kelana menambah, usaha kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi kedua negara harus dipercepatkan bagi menangani krisis beras di negara ini.
Baru-baru ini, penduduk di utara Sarawak khususnya di bandar-bandar utama, terkejut dengan kenaikan mendadak harga beras import di kawasan tersebut.
Pelbagai beras import khususnya, di bandar raya Miri dan bandar Bintulu dilaporkan naik antara 15 hingga 25 peratus atau naik sebanyak RM5 hingga RM8 bagi sekampit 5kg.
Bagi Aida Suhadi, 28, berkata, kerajaan seharusnya memandang serius masalah kenaikan harga beras ini dengan meningkatkan pemantauan terhadap peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang komoditi tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, kenaikan itu juga mula menimbulkan syak wasangka orang ramai sama ada bekalan beras di negara ini mencukupi atau tidak.
''Selain itu, cadangan sesetengah pihak supaya orang ramai memakan ubi kentang sebagai alternatif kepada nasi adalah terlalu sukar diterima kerana kita sebagai orang Melayu tetap berkehendakkan kepada nasi," katanya.
Seorang pengunjung yang ditemui, Nurmedinah Mohd. Terki, 30, berkata, dia sudah mula merasakan kenaikan harga beras sebanyak RM5 bermula bulan ini.
Ujarnya, kenaikan itu sudah tentu membebankan orang ramai yang berpendapatan rendah di negeri ini.
''Selain usaha penguatkuasaan harga beras, saya mencadangkan kerajaan supaya meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan padi dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras negara," katanya.
Nurmedinah berkata, kerajaan juga harus memodenkan lagi sistem pertanian dengan menjadikan Jepun sebagai model kepada penghasilan beras yang banyak di samping menggalakkan lepasan graduan dengan program pertanian.
|