|
102 penjaga kereta haram ditangkap
102 penjaga kereta haram ditangkap
KUALA LUMPUR Seramai 102 orang awam ditangkap dalam Operasi Jaga yang diadakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi masalah orang awam yang semakin berleluasa menjalankan aktiviti menjaga tempat letak kereta tanpa kebenaran baru-baru ini.Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan berkata, operasi tersebut dijalankan sepanjang bulan Januari hingga April lalu.
Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 83 orang sahaja yang ditangkap dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Pada bulan Januari tahun lalu, hanya 18 orang sahaja yang ditangkap, berbanding bulan yang sama tahun ini iaitu sebanyak 24 orang manakala pada bulan Februari tahun lalu pula, sebanyak 21 orang yang ditangkap, berbanding tahun ini sebanyak 27 orang.
Hukuman"Pada bulan Mac pula, sebanyak 24 orang telah ditangkap pada tahun lalu manakala pada tahun ini pula sebanyak 28 orang.
"Bagaimanapun pada bulan April menunjukkan penurunan berbanding bulan-bulan sebelumnya memandangkan hanya 23 orang sahaja yang ditangkap pada tahun ini dan 20 orang pada tahun lalu," katanya kepada pemberita ketika mempengerusikan Program Bersama Media di Bangunan DBKL di sini.
Tambahnya, mereka yang telah ditangkap akan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara dan denda.
Dalam majlis yang sama, Ab.Hakim turut memaklumkan satu lagi operasi dijalankan iaitu Operasi Tunda yang melibatkan 869 buah kenderaan telah ditunda kerana menyebabkan halangan lalu lintas.
Jelasnya, dalam operasi tersebut DBKL berjaya mengumpulkan sebanyak RM165,790 bayaran kompaun sepanjang bulan Januari hingga April.
Ujarnya, jumlah itu menunjukkan perbezaan ketara berbanding tahun 2007 kerana dalam tempoh yang sama, DBKL hanya mengumpul sebanyak RM 50,990 bayaran kompaun dan 374 buah kenderaan telah ditunda.
|