|
Penjawat awam jangan penting diri
Penjawat awam jangan penting diri
ARAU 17 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menggesa para penjawat awam supaya tidak mementingkan diri sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan awam.
Baginda bertitah, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti dan sanggup berkorban demi kemakmuran rakyat dan negara.
"Tugas utama penjawat awam ialah memelihara kepentingan rakyat, justeru berlandaskan prinsip dan kefahaman itu, kepentingan awam harus mengatasi kepentingan peribadi.
"Sekiranya wujud kelemahan dalam sistem pentadbiran dan proses pelaksanaan, ia perlu dikaji dan diperbaiki dengan segera," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-65 di Istana Arau di sini hari ini.
Berangkat sama pada istiadat itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.
Raja Perlis turut melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi negeri itu.
Baginda juga yakin pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan dapat membantu memacu pembangunan negeri ini.
"Beta juga yakin pentadbiran baru negeri Perlis yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu akan terus cemerlang," titah baginda.
Terdahulu, Raja Muda Perlis dalam titah baginda yakin Perlis mampu terus melahirkan generasi baru yang memiliki minda kelas pertama, berdaya saing dan maju.
Sementara itu, Md. Isa dalam ucapannya berkata, Perlis akan melaksanakan segera 551 projek yang dirancang di bawah RMK-9 melalui peruntukan sebanyak RM2.59 bilion.
"Kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Pusat Benih Negara di bawah pelan pembangunan NCER yang bakal meletakkan Perlis sebagai pengeluar benih bermutu tinggi," katanya.
Pada istiadat penganugerahan hari ini, seramai 22 orang menerima darjah kebesaran dan pingat.
Md. Isa dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal mendahului senarai penerima dengan masing-masing menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob masing-masing menerima darjah Datuk Wira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DWSJ) yang membawa gelaran Datuk.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dr. Tiki Lafe dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Musa Hassan masing-masing menerima darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang turut membawa gelaran Datuk.
|