|
Azmin cabar Rahman buktikan dakwaan disogok
Azmin cabar Rahman buktikan dakwaan disogok
KUALA LUMPUR 15 Mei -Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mencabar Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan membuktikan dakwaannya bahawa pembangkang menawarkan sogokan lumayan supaya ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lompat parti.
Beliau berkata, dalam hal ini Abdul Rahman diminta jangan hanya sekadar bercakap sebaliknya bukti perlu dikemukakan tentang bila, siapa dan jumlah yang ditawarkan.
''Buktikanlah.. bercakap siapa pun boleh bercakap... saya cabar Kota Belud buktikan jumlahnya, tarikhnya dan siapa orang perantara yang disebut itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu ditanya apakah Ahli Parlimen Kota Belud itu termasuk dalam senarai mereka yang akan menyertai pembangkang, Azmin berkata: ''Kota Belud..? Dia perasan saja.. Kita (PKR) tak perlu orang yang bercakap soal wang dan rasuah.
''Pada kita mana-mana Ahli Parlimen BN yang bercakap tentang ganjaran kewangan untuk mereka menyertai pembangkang, kita akan keluarkan nama mereka dari senarai termasuk dari Kota Belud jika ada."
Sementara itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menegaskan pakatan pembangkang tidak akan sesekali beri sogokan kewangan.
''Mereka (UMNO) ingat kita tawarkan rasuah dalam hal ini (melompat parti) kerana itulah amalan mereka selama ini," katanya.
''Kita hanya menawarkan satu bentuk pakej pembangunan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Sarawak. Siapa yang tidak mahu tawaran royalti minyak 20 peratus berbanding hanya lima peratus oleh BN," ujarnya.
Sementara itu, Azmin menegaskan, PKR akan tetap membangkitkan isu penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat Sukhoi walaupun Kementerian Pertahanan telah menjawab persoalan itu di Parlimen semalam.
Katanya, ia berikutan beliau sendiri tidak berpeluang untuk bertanyakan soalan tambahan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu sesi penggulungan.
''Ini terutama berhubung percanggahan jawapan di antara bekas Timbalan Menteri Pertahanan pada penggal Parlimen yang lalu dengan jawapan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri semalam berhubung soal pemberian komisen pembelian Scorpene.
''Semalam Najib jelaskan tidak ada komisen tetapi Timbalan Menteri pada masa itu kata komisen diberi. Jadi saya tetap tidak puas hati dengan jawapan itu," jelasnya.
|