|
Polis digesa siasat dakwaan Abdul Rahman
Polis digesa siasat dakwaan Abdul Rahman
SHAH ALAM 15 Mei - Seorang eksekutif jualan hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang ditawarkan sejumlah besar wang untuk melompat ke parti pembangkang.
Laporan itu dibuat oleh Mohd. Faidz Massari, 28, di Balai Polis Seksyen 11 di sini pukul 5 petang semalam, selepas beliau membaca artikel dalam akhbar Utusan Malaysia Selasa lalu yang bertajuk 'Saya ditawar habuan lumayan'.
Ketika ditemui hari ini katanya, laporan polis itu dibuat atas rasa tanggungjawab untuk menghalang cubaan pihak tertentu menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, cubaan merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan melalui rasuah ini jelas tidak mempedulikan keputusan majoriti rakyat dan seolah-olah cuba mencabar kedaulatan negara.
''Dengan adanya laporan ini, diharap PDRM dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan Abdul Rahman seterusnya menghalang cubaan anasir-anasir jahat yang cuba melanggar undang-undang negara," kata beliau.
Abdul Rahman ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, mendedahkan yang beliau telah ditawarkan sejumlah besar wang untuk melompat ke parti pembangkang.
Dakwa beliau, tawaran melalui satu panggilan telefon itu turut menjanjikannya jawatan dalam Kabinet kerajaan baru itu kelak.
Bagaimanapun, Abdul Rahman memberitahu beliau menolak tawaran itu kerana menganggap perbuatan tersebut sangat tidak bermaruah.
|