|
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
DARI kaca mata politik, pendedahan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan mendakwa dirinya cuba ‘dibeli’ cukup menarik. Katanya, dengan tawaran yang dijanjikan untuk lompat parti, dia boleh ‘‘hidup senang-lenang sampai tiga generasi’’.
Awang dan rakan-rakan pun mencongak-congaklah. Berapa agaknya yang cuba disogok? Ada berkata RM3 juta dan ada meletakkan lebih tinggi, RM5 juta. Pendek kata tak habis makanlah. Namun, atas dasar prinsip dan moral, Abdul Rahman menolaknya.
Abdul Rahman sedar dirinya dipilih rakyat, dan jika beliau menerimanya, dia bukan saja menipu rakyat, bahkan patut malu atas perbuatannya itu.
Bagi Awang, budaya ini cukup serius. Pihak pembangkang nampaknya ‘kemaruk’ kuasa sehingga sanggup merasuah. Awang hairan angkara siapakah yang membawa budaya ini. Seingat Awang ia pernah berlaku dalam UMNO satu masa dulu dan ia bu- kan rahsia lagi. Semua ahli UMNO, malah pembangkang pun tahu siapa di belakang budaya itu.
Hairannya, kini pembangkang seolah-olah ‘menutup kedua-dua belah mata’ dengan perbuatan yang cuba lakukan itu. Renung-renungkanlah.
Awang – Harap BPR merisik.
|