|
Ahli Parlimen jangan sombong
Ahli Parlimen jangan sombong
KUALA LUMPUR 13 Mei - Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) mendakwa beliau telah ditawarkan sejumlah besar wang untuk melompat ke parti pembangkang.
Katanya, tawaran melalui satu panggilan telefon itu turut menjanjikannya jawatan dalam Kabinet.
Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan beliau menolak tawaran itu kerana perbuatan itu sangat tidak bermaruah.
"Pemimpin pembangkang berjanji untuk memberi habuan kepada ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Abdul Rahman berkata, pakatan pembangkang selalu menuduh UMNO dan BN adalah rasuah serta tidak layak untuk menjadi kerajaan kelas pertama.
Sedangkan, katanya, pembangkang cuba mengabui mata rakyat kerana mereka sendiri mengamalkan rasuah.
Jelasnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan dan membudayakan politik wang dalam UMNO Sabah.
"Trend itu telah dipraktikkan semasa membeli undi untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO menentang Allahyarham Tun Ghaffar Baba.
"Duit berbakul, projek dan borang merah jambu menjadi pelincir kejayaan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO,'' katanya.
Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan jika Anwar menjadi Perdana Menteri, siapa yang bakal menggantikan beliau selepas itu.
Setakat ini, katanya, tidak ada calon dari kalangan pemimpin pembangkang yang layak menggantikan Anwar melainkan anaknya, Nurul Izzah.
''Siapakah akan menjadi Perdana Menteri selepas pemimpin agung PKR, rakyat nak tahu?
''Mungkinkah pembangkang akan melantik Perdana Menteri yang pertama dari kaum Cina atau India ataupun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,'' katanya.
Beliau memberitahu, seorang kawan memberi andaian bahawa Anwar akan membina empayar nepotisme dengan bakal melantik Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai sebagai Perdana Menteri ketujuh.
|