|
SAS tubuh pusat penyelesaian
SAS tubuh pusat penyelesaian
KUALA LUMPUR 8 April – SAS Institute Sdn. Bhd. (SAS) penyedia perkhidmatan perisian analitikal, menubuhkan Pusat Penyelesaian SAS (SASSC) yang bertindak sebagai tempat mempamer perkhidmatan perisian analitikal.
Melalui penubuhan pusat itu, SAS menetapkan sasaran peningkatan perolehan sebanyak 15 peratus kepada jumlah keseluruhan perolehan syarikat.
Ketua Bersekutu dan Saluran SAS, Jonathan Lee berkata, sasaran itu boleh dicapai memandangkan perolehan syarikat meningkat sebanyak 30 peratus setiap tahun sebelum ini.
‘‘Penubuhan pusat tersebut dilihat menjadi salah satu cara untuk kami mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia, di samping dapat menarik lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan kami.
‘‘Pada masa ini, kami mempunyai 150 pelanggan tertumpu di Lembah Klang dan kerjasama dengan beberapa rakan niaga melalui SASSC, kami jangka jumlah tersebut akan bertambah di seluruh negara,’’ katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran pembukaan SASSC, di sini hari ini.
SASSC merupakan usahasama SAS dengan Avnet Technology Solutions (Avnet), ditubuhkan untuk memenuhi permintaan terhadap perisian analitikal oleh syarikat-syarikat tempatan.
Tambah Lee, pusat tersebut akan menyediakan fasiliti untuk membolehkan rakan kongsi menunjukkan penyelesai perisian perniagaan (BI) serta membuat demonstrasi potensi produk kepada bakal pelanggan mereka.
‘‘Sasaran pelanggan kami adalah daripada sektor pembuatan, telekomunikasi, sektor awam dan sektor-sektor lain yang menggunakan perisian untuk perniagaan mereka.
‘‘Melalui usahasama ini, Avnet akan membantu kami menyediakan perkakasan komputer kepada SASSC selain memberi cadangan terhadap saiz yang sesuai bagi kehendak BI pelanggan,’’ katanya.
Selain itu, SAS turut akan membelanjakan sebahagian daripada perolehan mereka untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk.
|