|
Bernas perlu panjangkan tempoh simpanan stok beras
Bernas perlu panjangkan tempoh simpanan stok beras
Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
PADIBERAS Nasional Bhd. (Bernas) perlu mengkaji semula stok simpanan berasnya daripada sebulan pada masa ini kepada tempoh tiga bulan, bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.
Langkah itu bagi mengelakkan negara putus bekalan beras, sekiranya berlaku keadaan kecemasan, sehingga boleh mengancam keselamatan negara.
Bernas perlu membuat persediaan awal berikutan kekurangan bekalan beras dunia dan kenaikan harga beras global yang memuncak pada masa ini akibat bencana alam.
Harga beras dunia telah meningkat hampir 50 peratus sejak awal tahun ini, setelah Vietnam, negara pengeluar beras kedua terbesar dunia terpaksa menggantung pesanan beras, kerana kekurangan bekalan komoditi berkenaan di negara itu, akibat serangan serangga.
Harga beras dunia kini berada pada paras AS$780 setan metrik berbanding AS$360 setan metrik pada akhir tahun lalu.
Para penganalisis menjangkakan harga beras dunia akan meningkat antara AS$1,000 hingga AS$1,200 setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang, kerana kesukaran memenuhi permintaan dan kesukaran meningkatkan pengeluaran dalam masa yang singkat.
Filipina, negara pengimport beras terbesar dunia berjumlah 150 juta tan metrik setahun, paling teruk terjejas, menyebabkan harga beras domestik meningkat hampir 100 peratus.
Jabatan Pertanian AS meramalkan stok beras global akan terus merosot pada paras terendah dalam tempoh 25 tahun pada tahun ini.
Penganalisis menjangkakan Malaysia diramal mengalami kekurangan bekalan dalam tempoh sebulan akan datang berikutan simpanan beras negara yang terus berkurangan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pakar kepada Majlis Harga Negara (MHN), Datuk Dr. Kamal Salih, kekurangan beras negara dalam tempoh sebulan akan datang merupakan kekurangan daripada segi stok komersial dan bukan daripada segi stok ekonomi.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, tempoh sebulan stok komersial yang diamalkan oleh Bernas pada masa ini tidak lagi sesuai.
Katanya, Bernas perlu mengkaji semula satu tempoh yang munasabah iaitu stok simpanan selama tiga bulan bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.
''Bernas perlu mengekalkan pembelian bekalan untuk tiga bulan akan datang seperti yang diamalkan oleh Singapura,'' katanya.
KeperluanBeliau berkata, keperluan beras negara adalah kira-kira 93,000 tan metrik sebulan dan tempoh pembelian sebulan ke hadapan tidak lagi sesuai pada masa ini.
Menurutnya, pada masa ini, simpanan beras dalam tempoh yang lama tidak lagi menjadi masalah, kerana kini terdapat beras yang berkualiti tinggi yang boleh tahan disimpan selama setahun.
Kamal juga mencadangkan supaya Bernas mewujudkan stok penimbal beras bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.
''Penubuhan stok penimbal melibatkan kos yang besar untuk tujuan penyimpanan, pengendalian, dan mengawal kualiti.
''Bagaimanapun, Bernas boleh memohon bantuan kerajaan bagi menampung kos menubuhkan stok penimbal beras,'' tambah beliau.
Sehubungan itu, katanya, beliau sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat pakar kepada MHN telah mencadangkan supaya Stok Penimbal Kebangsaan ditubuhkan sebagai langkah mengawal kenaikan harga barangan dan memastikan bekalan barangan keperluan asas termasuk beras sentiasa mencukupi.
Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada mesyuarat MHN yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada bulan ini.
''Ini bagi memastikan rantaian bekalan barangan keperluan asas termasuk beras dapat diperkemaskan bagi memastikan bekalan tidak tergendala,'' katanya.
Ia juga bagi mengelakkan berlaku manipulasi oleh pihak-pihak tertentu, katanya.
Pada masa ini, Malaysia mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setahun dari Thailand dan Vietnam iaitu kira-kira 40 peratus daripada keperluan beras negara.
Kawasan tanaman padi utama di negara ini terutama di Kedah yang merupakan negeri 'jelapang padi' hanya mampu mengeluarkan padi kira-kira 60 peratus daripada keperluan negara.
Memandangkan negara masih mengimport beras bernilai RM100 juta setahun, kerajaan telah menetapkan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan ke tahap 90 peratus sara diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Jumaat lepas juga telah mencadangkan supaya Sarawak yang merupakan negeri terbesar di negara ini menjadi negeri jelapang padi bagi menampung keperluan beras negara.
Cadangan menjadikan Sarawak kawasan jelapang padi yang baru bagi negara dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan beras di negara ini dalam jangka panjang.
|