|
Forklift jatuh, Kuala Lumpur sesak
Forklift jatuh, Kuala Lumpur sesak
Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 17 Mac – Dua forklift termasuk satu generator yang dibawa sebuah lori terjatuh di Jalan Duta menuju susur ke Jalan Mahameru disini menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang laluan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, lori berkenaan dipercayai cuba melepasi sebuah terowong di jalan tersebut, namun ketinggian salah satu jentera yang dibawanya gagal melepasi had ketinggian.
Ia menyebabkan dua forklift dan satu generator yang dibawa terjatuh di tepi jalan sekali gus menyebabkan limpahan minyak hitam selain menghalang pergerakan kenderaan lain.
Kesemua jentera itu hanya berjaya dialihkan dengan bantuan sebuah kren yang tiba kira-kira tiga jam kemudian dan kerja mengalih selesai pada pukul 7.30 petang.
Saksi kejadian memberitahu, lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Jalan Chan Sow Lin di Sungai Besi dekat sini.
Pemandu lori itu tidak menyedari bahawa salah satu forklift yang dibawanya melebihi ketinggian terowong.
Ekoran kesesakan teruk di jalan itu, polis trafik Jalan Bandar tiba di tempat kejadian kira-kira 40 minit selepas kejadian tersebut.
Kelewatan kren bergerak untuk mengalihkan forklift itu menyebabkan pihak polis menutup jalan susur ke Jalan Mahameru dan mengakibatkan kesesakan teruk di sekitar laluan Jalan Duta.
Timbalan Ketua Cawangan Trafik Jalan Bandar, Deputi Supritendan Ng Fook Long yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tetapi sehingga malam ini belum menerima sebarang laporan.
|