|
Kerajaan Selangor nafi jadi boneka DAP
Kerajaan Selangor nafi jadi boneka DAP
15/03/2008 8:51pm
SHAH ALAM 15 Mac – Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan pentadbiran kerajaan campuran negeri itu yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah boneka DAP.
Menurut beliau, sepatutnya perkara itu tidak dijadikan isu selagi barisan Exco kerajaan negeri belum diperkenalkan.
Katanya, Selangor akan membariskan golongan profesional dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi menyediakan khidmat terbaik kepada rakyat.
"Itu adalah isu yang sengaja diada-adakan, kita memerintah Selangor untuk memberi khidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
"Tengok saja nanti siapa yang dilantik dalam barisan Exco, kemudian baru tahu bentuk atau konsep pemerintahan kerajaan negeri Selangor," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Semalam, sekumpulan penyokong sebuah parti politik berhimpun secara aman di depan pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor iaitu Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini.
Kumpulan itu yang turut membawa sepanduk membantah pendirian DAP untuk menghentikan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mendakwa PKR serta Pas sebagai boneka DAP.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, PKR, DAP dan Pas memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dipertandingkan.
Barisan Nasional (BN) memenangi 20 kerusi DUN manakala PKR 15 kerusi, DAP (13) dan Pas (lapan).
Abdul Khalid memberitahu, apabila barisan Exco diperkenalkan nanti, rakyat boleh melihat sendiri kualiti pentadbiran yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor.
Jelasnya, kerajaan negeri akan melaksanakan sistem pentadbiran yang telus dengan mereka yang berkebolehan sahaja dipilih bagi menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. - Utusan
|