Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Abdullah: Anwar gemar berdolak-dalik, tidak kotakan janji

Abdullah: Anwar gemar berdolak-dalik, tidak kotakan janji

Oleh ZULKIFLI JALIL

KEPALA BATAS 4 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang yang gemar berdolak-dalik dan tidak mengotakan janji.

Perdana Menteri berkata, Anwar sering menabur janji kosong dan ini terbukti berdasarkan rekod perkhidmatan pemimpin pembangkang itu semasa dalam kerajaan dulu.

Menurutnya, ketika Anwar menjadi Menteri Pelajaran, tiada sebarang usaha dilakukannya untuk mewujudkan dasar-dasar yang boleh membela nasib guru.

“Masa dia (Anwar) jadi Menteri Pelajaran, skim dua gaji (guru) dia tidak buat, saya yang laksanakan.

“Guru-guru dok tunggu skim satu tingkat gaji, sampai hendak naik pangkat jadi guru super pun terpaksa duduk (ditempatkan) di Jabatan Pelajaran dulu.

‘‘Dulu, guru-guru hanya tunggu nak pencen dengan gaji rendah, pasal itu mereka lari (berhenti) dan tidak nampak jalan keluar sehingga ada yang masuk politik,” kata Abdullah ketika berucap melancarkan Program i-Pintar Sekolah Luar Bandar di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Abdullah berkata, berbanding pembangkang, BN tidak suka membuat janji kosong semata-mata untuk memancing undi rakyat dalam pilihan raya.

Tegasnya, janji kosong pembangkang turut terbukti di Kelantan apabila sepanjang 18 tahun memerintah, Pas gagal memajukan negeri itu.

“Kita bukan janji macam orang sebelah tu (Pas di Kelantan), macam-macam nak janji sebab tahu tidak dapat tubuh kerajaan (di peringkat Pusat).

“Janji itu seronok dan Kelantan yang 18 tahun diperintah (Pas) tidak ada apa-apa pun, cakap sahaja, sedangkan hutangnya dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 bilion.

“Anak-anak Kelantan pula, baik lelaki dan perempuan, banyak bekerja di luar negeri itu (kerana tiada pekerjaan di Kelantan),” katanya.

Abdullah memberitahu, beliau sebenarnya tidak berniat untuk mengata kerajaan Pas Kelantan tetapi merasakan perlu membuat penjelasan mengenai perkara itu.

“Sebelum ini, kita bercadang untuk bawa Kelantan menyertai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tapi ada yang cakap pada saya, buat apa Pak Lah nak buat macam itu sebab Kelantan bukan sokong kita.

“(Bantahan) ini mungkin kerana mereka tidak yakin kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, tetapi saya cakap tidak payah cakap macam itu sebab saya tetap nak bantu rakyat Kelantan, mahu Kelantan maju.

“Tapi dia (pemimpin kerajaan Pas Kelantan) tidak habis-habis cakap (bidas) kerajaan Persekutuan, geram juga sekali-sekala,” kata Abdullah.

Perdana Menteri berharap rakyat tidak akan terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang, sebaliknya memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Pada sidang akhbar kemudian, Abdullah diminta mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr. Chandra Muzaffar bahawa negara boleh hancur jika Anwar ditakdirkan menjadi pemimpin.

Menurut Perdana Menteri, beliau bersetuju dengan kenyataan itu.

“(Perkara itu) boleh jadi, berasaskan kepada apa yang beliau biasa lakukan. Apa yang Dr. Chandra Muzaffar bagi tahu itu memang betul,” katanya.

Abdullah juga bersetuju dengan kenyataan Penasihat Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik yang menyifatkan Anwar seperti sesumpah yang boleh berubah mengikut keadaan dan tempat.

“Itu memang betul daripada laporan-laporan yang saya dengar memang begitu, di tempat ini kata macam ini, tempat lain dia kata macam lain pula.

“Itu memang berlaku. Datuk Seri Dr. Lim memang tahu dan dia (Anwar) biasa cakap dengan orang India macam-macam janji tetapi apa yang dia dah buat untuk kemajuan orang India selama ini, atau semasa dia dalam kerajaan dulu,” katanya.

Semalam, pada satu forum di Kuala Lumpur, Chandra mendedahkan bahawa Anwar sebenarnya umpama sesumpah kerana sentiasa boleh berubah imej daripada seorang’ pejuang’ ketika di universiti kepada nasionalis ketika bersama UMNO tetapi selepas disingkirkan daripada UMNO, meringkuk di penjara atas tuduhan yang amat memalukan, dan kembali bergiat dalam politik, Anwar sekarang menggunakan popularitinya untuk memancing undi bagi PKR yang diketuai isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Ia adalah pendedahan yang ingin saya lakukan kerana saya tidak mahu rakyat terus terpedaya dengan helah Anwar Ibrahim,” kata Chandra yang kini Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST).

Beliau meletak jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR setelah menyedari dirinya dipergunakan untuk kepentingan politik Anwar.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN