|
Bakal calon perlu kemuka Akuan Berkanun
Bakal calon perlu kemuka Akuan Berkanun
PUTRAJAYA 21 Feb. - Bakal-bakal calon yang akan mengemukakan borang penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-12 Ahad ini, perlu mengemukakan Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) berserta duti setem yang telah dibayar.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, menerusi peraturan baru yang diperkenalkan itu, calon-calon perlu membayar duti stem RM10.
''Setem ini boleh dibeli di mana-mana pejabat pos dan urusan untuk mematikan setem hasil atau membuat setem tertera, boleh dibuat di mana-mana Pejabat Duti Setem Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tegas beliau, calon-calon yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh ditolak pencalonannya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya semasa hari pencalonan.
Menurutnya, urusan mematikan setem hasil juga boleh dibuat di 128 buah pejabat daerah di seluruh negara.
''Dalam hal ini, SPR juga ingin memaklumkan bahawa peraturan 6 (2A) (c) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Pegawai Pengurus boleh menolak kertas penamaan calon jika calon gagal memenuhinya," katanya.
|