Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Rakyat tidak terima demonstrasi jalanan

Rakyat tidak terima demonstrasi jalanan

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Rakyat negara ini bukan bodoh untuk menerima budaya demonstrasi jalanan yang diperjuangkan oleh parti pembangkang kerana ia boleh menjejaskan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Ketua Pemuda MIC, S. A. Vigneswaran berkata, demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang berbahaya dan sepatutnya ditolak oleh penduduk negara ini.

Menurutnya, rakyat negara ini tidak seharusnya menjadikan demonstrasi di Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh demokrasi tulen kerana Malaysia baru mencapai kemerdekaan yang ke-50 sebaliknya, demokrasi di AS telah bertapak lebih 200 tahun.

‘‘Dalam usia negara yang muda ini, kita seharusnya menyelesaikan masalah yang timbul melalui saluran dan cara yang betul, bukannya dengan menunjuk perasaan di jalanan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti pembangkang itu akan melaksanakan demokrasi lebih telus termasuk membenarkan demonstrasi jalanan jika berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac ini.

Dalam kenyataannya di Kangar kelmarin, Abdul Hadi berkata: ‘‘Jadi apa salahnya buat demonstrasi? Biarlah mereka buat, bukannya mereka bakar kereta. Kalau bakar, ambillah tindakan.’’

Vigneswaran juga menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu hanya untuk menyogok kaum India mengundi parti itu berikutan siri demonstrasi yang dianjurkan oleh segelintir masyarakat India sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, sebagai sebuah negara yang memiliki rakyat berbilang kaum, kemakmuran negara perlu diperkukuhkan melalui perbincangan dan bukannya dengan mengadakan demonstrasi jalanan.

‘‘Di negara-negara lain yang rakyatnya tidak mengikut peraturan dan sering mengadakan demonstrasi, negara mereka menjadi kacau-bilau,’’ ujar beliau.

Katanya, meskipun wujud masalah dalam tempoh 50 tahun kemerdekaan Malaysia, rakyat tidak seharusnya memilih demonstrasi jalanan bagi menyelesaikan sesuatu masalah apatah lagi ia bukan budaya rakyat tempatan.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau tidak setuju langsung dengan kenyataan Abdul Hadi mengenai demonstrasi jalanan kerana ia lebih kepada menggalakkan keganasan, kekasaran dan kekecohan.

Menurutnya, perbuatan itu juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara merosot ekoran keengganan pelabur asing melabur dan menyukarkan rakyat keluar mencari rezeki.

‘‘Demonstrasi jalanan bukan budaya Timur dan sepatutnya ditolak memandangkan ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan,’’ ujarnya.

Sambil menyifatkan penganjuran demonstrasi jalanan sebagai idea sempit parti pembangkang, kata Noraini, banyak saluran lain boleh digunakan oleh rakyat untuk menyalurkan masalah mereka.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican pula berkata, keadilan seharusnya dilihat dalam konteks golongan majoriti dan bukan semata-mata untuk segelintir pihak yang mengadakan demonstrasi jalanan.

‘‘Adakah kita perlu menidakkan keadilan dan hak bagi lebih 20 juta rakyat negara ini berbanding 10,000 orang lain yang mengadakan demonstrasi jalanan?’’ soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menimbulkan persoalan sama ada Abdul Hadi sekarang telah mula bersetuju dan terpesona dengan demokrasi ala AS untuk dilaksanakan di negara ini, sekalipun sebelum ini beliau menolaknya.

Tambah beliau lagi, Abdul Hadi juga seolah-olah mengalami konflik pendirian kerana sebelum ini beliau melihat AS sebagai sebuah negara yang tidak boleh dicontohi tetapi kini beliau mula menyokong budaya demonstrasi dari Barat.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN