|
UM mohon kelulusan jual tanah
UM mohon kelulusan jual tanah
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Universiti Malaya (UM) hari ini menyatakan ia telah mengemukakan satu cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan tanah yang kurang digunakan seluas 27.5 ekar (11 hektar) dari keseluruhan tanah kampus utamanya seluas 900 ekar (360 hektar).
Penyelesaian projek pembangunan itu dengan jayanya dijangka menyediakan UM dengan pendapatan minimum RM312 juta atau nilai tanah sebanyak RM200 juta dicampur satu bahagian keuntungan pemaju, yang mana lebih tinggi, kata UM.
Ia menyatakan demikian dalam satu kenyataan bahawa Naib Canselor Datuk Rafiah Salim mewakili Lembaga Pengarah (UMBD) universiti dan universiti telah memohon menteri untuk meluluskan projek pembangunan itu pada 25 Januari.
Projek berkenaan, di bawah inisiatif sektor swasta akan dilaksanakan oleh sebuah konsortium dikenali dengan nama PPC- MINT-GLOMAC.
PPC-MINT-GLOMAC, hasil penggabungan dua syarikat telah disyorkan oleh Colliers International Property Consultants Sdn. Bhd., yang dilantik universiti untuk melaksanakan penilaian bebas.
Kedua-dua syarikat itu adalah dari tiga yang disenarai pendek Colliers International untuk membuat pembentangan kepada Lembaga Pengarah UM Holdings Sdn Bhd (UMHBD) pada 27 September 2007.
Pada awalnya, lapan syarikat pemaju telah dijemput untuk mengemukakan cadangan pembangunan itu tetapi hanya lima telah mengemukakan cadangan.
Colliers International telah dilantik oleh UM Holdings, iaitu merupakan anak syarikat milik penuh UM yang diperbadankan sejajar dengan perancangan kerajaan untuk universiti awam bebas dari penggantungan kewangan.
UMBD telah melantik Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini ke lembaga UM Holdings dan mempengerusikannya dengan tujuan untuk memenuhi aspirasi korporat universiti.
UMHBD turut dianggotai Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Augustine Ong, Annuar Mohamad, Azhar Harun dan Profesor Dr. Muhammad Zakaria.
Antara peranan UM Holdings ialah untuk merancang, mengenal pasti, meneroka, memulihara, membangun dan mempertingkatkan aset universiti.
Universiti itu mendedahkan bahawa UM Holdings telah menerima banyak rancangan untuk pelbagai jenis pembangunan dan projek. Beberapa bidang tanah telah pun dikenal pasti dan tanah seluas 11 hektar di Lot 10476 telah dipilih.
Universiti itu berkata konsortium PPC- MINT-GLOMAC, yang membuat satu pembentangan kepada UMBD pada 9 Okt, 2007, telah dapat menarik perhatian wujudnya cadangan rumah kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) dan kem PALAPES (Unit Latihan Pegawai Simpanan) di atas tanah yang akan dibangunkan itu.
"Ini akan menjejaskan Pelan Induk pembangunan konsortium itu berkaitan tanah itu. UMBD memperakui kebimbangan dirasai konsortium itu dan menyedari keperluan bagi UM untuk memperoleh manfaat yang optimum kepada semua berkenaan dengan tanah itu.
"Dengan mengambil kira perkara ini, UMBD menyedari bahawa kedua-dua kem PALAPES dan rumah kelab PAUM perlu dipindahkan ke kawasan lain yang akan dikenal pasti oleh UM," katanya.
- Bernama
|