|
Suntikan baru cegah jenayah
Suntikan baru cegah jenayah
Oleh: TAN MING WAI dan ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 15 Feb. - Usaha pencegahan dan membanteras jenayah di ibu negara mendapat suntikan baru dengan pembukaan sebanyak 16 balai polis dan 20 pondok komuniti polis hari ini.
Pelancaran itu merupakan antara 60 balai polis dan 55 pusat komuniti polis baru yang dilancarkan serentak di Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada hari ini dan semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar berkata, usaha tersebut membuktikan komitmen polis bagi mendekatkan lagi diri dengan masyarakat sekali gus bersama-sama membanteras jenayah.
''Polis yakin kehadiran kami bersama masyarakat mampu membawa implikasi mendalam terhadap psikologi dengan menakutkan individu yang cuba melakukan jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Alam Damai termasuk 16 balai polis dan 20 pondok polis komuniti baru peringkat Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah.
Balai Polis Alam Damai dinaik taraf daripada status pondok untuk memberi perkhidmatan yang lebih efisien kepada sembilan buah taman perumahan seluas 12 kilometer persegi yang didiami kira-kira 58,000 orang penduduk.
Sepasukan lapan anggota polis yang diketuai seorang Sarjan ditugaskan di balai tersebut.
|