Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Dagangan Malaysia cecah RM1.1 trilion

Dagangan Malaysia cecah RM1.1 trilion

Oleh Ainul Asniera Ahsan

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Malaysia terus mencatat perdagangan yang kukuh pada 2007 dengan nilai dagangan RM1.1097 trilion iaitu meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding RM1.0697 trilion pada 2006.

Prestasi itu yang dicapai ketika kemelesetan ekonomi sedang melanda Amerika Syarikat (AS) merupakan tahun kedua negara mencatat jumlah perdagangan melebihi RM1 trilion.

Malaysia turut mencatat lebihan dagangan bernilai RM100.53 bilion pada tahun lalu iaitu pencapaian kali ke-10 berturut-turut. Ia merupakan lebihan dagangan kedua tertinggi dalam sejarah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz ketika mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia 2007 di sini hari ini berkata, eksport dan import negara masing-masing meningkat sebanyak 2.7 peratus dan 4.9 peratus kepada RM605.1 bilion dan RM504.57 bilion.

Jumlah import itu termasuk barangan pengantara RM358.51 bilion dan barangan modal RM70 bilion, kata beliau.

‘‘Pertumbuhan ekonomi global pada 2007 yang dianggarkan sebanyak 3.6 peratus oleh Bank Dunia telah mengekalkan permintaan dunia untuk import dan eksport, seterusnya memberi kesan positif kepada prestasi eksport Malaysia,’’ katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan eksport pada tahun 2007 didorong oleh pasaran tradisi dan baru terutama dari China, Jepun, Australia, Indonesia, Belanda, Jerman, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Korea, Vietnam, India dan Pakistan.

Katanya, jumlah eksport ke pasaran-pasaran tersebut mengembang sebanyak 4.6 peratus berbanding 2.7 peratus peningkatan dalam jumlah eksport Malaysia.

Rafidah berkata, meskipun eksport Malaysia ke AS merosot sebanyak 14.5 peratus pada tahun lalu tetapi kekurangan itu diimbangi dengan pasaran baru sebagai sebahagian daripada inisiatif kepelbagaian pasaran eksport Malaysia.

Beliau berkata, pasaran Afrika, Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan, Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) dan Kesatuan Eropah (EU) menghasilkan pertumbuhan dua angka dalam eksport Malaysia.

Eksport ke Iran meningkat kepada RM2.12 bilion, Hungary (RM1.73 bilion), Mesir (RM1.64 bilion), Poland (RM1.15 bilion) dan Qatar (RM1.01 bilion).

Peningkatan eksport ke pasaran yang sedang berkembang itu disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, jentera, perkakasan dan peralatan, barangan besi dan keluli, minyak kelapa sawit serta balak dan kayu gergaji.

Rafidah berkata, eksport ke Asia juga meningkat sebanyak 6.2 peratus, menyumbang 63 peratus kepada jumlah eksport, berbanding 55 peratus pada tahun sebelumnya.

Rantau lain yang mencatat peningkatan dalam eksport ialah EU sebanyak RM77.81 bilion, Ocenia (RM23.5 bilion), Afrika (RM10.27 bilion), Amerika Latin (RM9.25 bilion) dan Eropah Timur (RM3.29 bilion).

Destinasi eksport utama Malaysia di Asia pula ialah Singapura bernilai RM88.51 bilion, Jepun (RM55.24 bilion), China (RM53.03 bilion), Thailand (RM29.98 bilion), Hong Kong (RM27.97 bilion), Korea (RM23.03 bilion) dan India RM20.2 bilion).

Menurut Rafidah, ASEAN kekal sebagai rakan perdagangan strategik penting Malaysia pada tahun lalu dengan sumbangan sebanyak RM155.54 bilion kepada jumlah eksport negara.

Eksport ke Indonesia meningkat 18.9 peratus kepada RM17.74 bilion, manakala eksport ke Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam sebanyak RM9.2 bilion.

Sementara itu, eksport ke Asia Barat terus mencatat pertumbuhan sebanyak 19.9 peratus kepada RM22.04 bilion.

Pasaran utamanya ialah UAE dengan eksport berjumlah RM10.12 bilion, Turki (RM3.1 bilion), Arab Saudi (RM2.46 bilion) dan Iran (RM2.12 bilion).

Rafidah berkata, perbelanjaan pelaburan yang kukuh dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan menyebabkan import yang lebih tinggi untuk barangan pengantara dan modal.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN