Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






DALAM NEGERI

Kembar 3 catat sejarah sertai MTD

Kembar 3 catat sejarah sertai MTD

Oleh ASSIM HASSAN

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Maktab Tentera Diraja (MTD) hari ini mencatat sejarah apabila tiga beradik kembar seiras mendaftar sebagai pelajar baru tingkatan empat sekolah tersebut.

Tiga beradik kembar yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu adalah Muhammad Fuad Haziq, Muhammad Fuad Amma dan Muhammad Fuad Hazim.

Ketiga-tiga mereka merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat memperoleh 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini.

Apa yang menarik, mereka memberitahu, minat terhadap perkhidmatan dan latihan ketenteraan lahir tanpa paksaan atau pengaruh orang lain.

Fuad Haziq berkata, sejak kecil lagi mereka bertiga bukan hanya akan memakai pakaian atau memiliki barang permainan sama, bahkan mempunyai minat sama untuk menjadi anggota tentera.

‘‘Kami minat sukan bola sepak dan kami bertiga turut meminati bidang ketenteraan ini,’’ katanya ketika ditemui pada hari pendaftaran di MTD itu, hari ini.

Bagaimanapun, Fuad Haziq tidak menolak penyertaan mereka bertiga dalam MTD pasti akan menjadi tumpuan.

‘‘Kami juga boleh menyesuaikan diri jika tidak ditempatkan bersama-sama nanti,’’ tambahnya.

Sistematik

Sementara itu, bapa mereka, Fuadtayadi Suratman, 41, berkata, beliau tidak menghalang pilihan anak-anaknya untuk meneruskan pengajian ke MTD.

‘‘Saya merasakan pilihan yang mereka buat adalah pilihan terbaik untuk diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara,’’ ujarnya.

Tambah Fuadtayadi yang merupakan seorang guru sekolah rendah, dengan memasuki MTD, mereka dapat mendisiplinkan diri secara lebih teratur dan sistematik.

‘‘Dengan cara itu, mereka sedar dan tahu akan matlamat dalam hidup untuk menjadi seorang insan yang berguna,’’katanya.

Sementara itu, Pegawai Koordinasi MTD, Mejar Mohamed Nizam Zakariah berkata, jumlah kemasukan pelajar Cina dan India masih kurang memuaskan serta tidak menepati piawaian yang disasarkan.

‘‘Orang ramai masih tidak faham akan sistem yang dilaksanakan MTD. Sesiapa yang memasuki MTD tidak terikat dengan bidang ketenteraan jika mereka tamat belajar nanti.

‘‘Dengan alasan tersebut, kebanyakan kaum Cina dan India tidak menggalakkan anak-anak mereka memasuki MTD ini,’’ katanya.

Menurut Mohamed Nizam, seramai 1,003 calon yang memohon, hanya 241 orang pelajar sahaja berjaya memasuki MTD.

‘‘Kita di MTD akan mengadakan pelbagai ujian sebelum memilih calon-calon pelajar dan antara ujian yang dijalankan adalah pemeriksaan perubatan, ujian kecergasan jasmani, ujian kepimpinan, ujian sukan dan temuduga,’’ tambah beliau.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN