|
Henti jual roti canai dibatal
Henti jual roti canai dibatal
JOHOR BAHRU 12 Jan. – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PPRMM) Johor hari ini membatalkan hasrat untuk menghentikan penjualan roti canai minggu depan setelah masalah harga dan bekalan tepung gandum yang dihadapi mereka dapat diatasi hari ini.
Setiausahanya, Hussin Ibrahim berkata, penjualan makanan kegemaran ramai itu diteruskan setelah ahli-ahlinya tidak lagi menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan tepung gandum.
“Kesukaran mendapatkan bahan asas itu berakhir hari ini dan harganya juga kembali seperti sedia kala iaitu RM33.60 sekampit seberat 25 kilogram (kg),” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Rabu lalu, PPRMM melahirkan hasrat untuk menghentikan penjualan roti canai minggu depan jika kenaikan harga tepung gandum tidak diatasi segera oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Hussin berkata, isu itu tidak lagi timbul dengan perkembangan terbaru membabitkan bahan asas tersebut.
“Harga roti canai kosong juga kekal 70 sen sekeping, manakala roti telur pula RM1.30 sekeping,” katanya.
Beliau meminta para pelanggan agar tidak bimbang kerana mereka boleh terus menikmati makanan kegemaran masing-masing.
Sementara itu di Kuala Lumpur, saranan Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta pengguna memboikot pengusaha makanan termasuk pengusaha restoran mamak yang menaikkan harga dengan alasan tepung gandum mahal di pasaran mendapat sokongan daripada persatuan pengguna.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, tindakan memboikot itu boleh dibuat setelah para pengguna menggunakan hak yang ada untuk meminta harga berpatutan.
‘‘Sebenarnya pengguna ada kuasa. Jangan pergi ke kedai yang jual makanan berasaskan tepung dengan harga yang tinggi.
‘‘Kalau kita tak makan, mereka pun tak boleh berniaga. Jadi ini satu amaran awal sebelum boikot betul-betul dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
|