|
Guna kanak-kanak kutip derma berleluasa
Guna kanak-kanak kutip derma berleluasa
Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI 7 Jan. – Ketika kebanyakan kanak-kanak lain sibuk memulakan sesi pengajian baru 2008 di sekolah masingmasing, terdapat pula segelintir murid sebuah pusat tahfiz amal dikerah menjalankan aktiviti kutipan derma di kaki lima premis perniagaan di bandar ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Ibrahim di sini mendapati, beberapa kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun menjalankan aktiviti mengutip derma di kawasan tumpuan penduduk terutama hadapan bank dan pusat membeli-belah.
Kanak-kanak yang berpakaian seragam murid sekolah itu turut dikesan menjual kalendar, buku-buku agama dan ubat sakit kulit bermula pukul 1 petang setiap hari sejak beberapa minggu lalu.
Salah seorang murid dikenali Muhd. Syafiz, 8, memberitahu, modus operandi mereka cukup mudah iaitu memberi salam kepada orang ramai yang baru keluar dari bank dan memperkenalkan diri mereka.
“Saya kemudian minta mereka derma untuk kebajikan. Sebagai balasan, saya akan hadiahkan kalendar kepada orang yang menderma,’’ katanya di sini.
Menurut Mohd. Syafiz, dia telah menjalankan kegiatan tersebut lebih tiga tahun lalu.
“Saya tidak dipaksa. Apa yang kami buat ini adalah untuk tabung pusat tahfiz. Kami buat ini untuk menghargai sumbangan pusat tahfiz yang memberikan tempat tinggal, makan minum dan pelajaran,’’ katanya.
Mohd. Syafiz mendakwa, kegiatan mengutip derma itu dijalankan pada sebelah petang iaitu selepas tamat waktu pengajian di pusat amal tahfiz yang terletak di Simpang Empat Kangkong, Yan, kira-kira 50 kilometer dari Sungai Petani.
“Kami bergerak secara kumpulan dan dihantar oleh sebuah van dari pusat amal. Setiap kumpulan ada 10 orang murid.
“Kami akan kutip derma sehingga pukul 6 petang sebelum dibawa balik,’’ katanya yang berasal dari Lembah Klang.
Isu penyalahgunaan kanak-kanak untuk menjalankan perniagaan bercorak mengutip derma pernah dilaporkan media pada penghujung tahun 2006.
Episod kegiatan berkenaan terdedah pada 29 Disember 2006 apabila lima pelajar Pusat Tahfiz Amal, Simpang Empat, Kuala Kedah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungkai, Perak.
Dalam nahas yang turut mencederakan tiga lagi pelajar, van yang mereka naiki melanggar belakang lori kontena yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 355.7 lebuh raya itu.
Kanak-kanak tersebut dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan bagi membantu pusat berkenaan.
|