|
Segelintir penulis blog keterlaluan – Nazri
Segelintir penulis blog keterlaluan – Nazri
KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penulis blog yang menyentuh perkara sensitif termasuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam.
Tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kerajaan akan bertindak ke atas segelintir penulis blog yang sudah keterlaluan.
Menurut beliau, kerajaan selama ini sudah banyak bersabar dengan tindakan mereka tetapi sejak kebelakangan ini sesetengah berita yang disiarkan dalam blog itu seolah-olah mencabar kerajaan.
Kata beliau, sesetengah berita yang dipaparkan juga mengundang rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.
‘‘Apakah penulis blog ingat mereka ini ahli Parlimen sedangkan anggota Parlimen sendiri mempunyai peraturan ketika membangkitkan sesuatu perkara dalam Dewan Rakyat.
‘‘Kita tidak mahu orang ramai melihat kerajaan sebagai tidak bermaya. Sudah tiba masanya untuk kita (kerajaan) bertindak ke atas orang seperti ini. Sekarang bukan masanya untuk bercakap tetapi bertindak.
‘‘Saya memberi jaminan kerajaan akan mengambil tindakan, kerajaan sudah banyak bersabar selama ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Aktiviti Kerajaan Elektronik 2007 pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Semalam, UMNO membuat laporan polis terhadap laman web Malaysia Today kerana menyiarkan komen sensitif berhubung isu kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, keagamaan dan perkauman.
Ketua Penerangannya, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, komen orang ramai yang disiarkan pada 11 Julai lalu oleh laman web tersebut melanggar undang-undang dan menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Kata Mohamed Nazri, penulisan yang menghina Yang di-Pertuan Agong, raja, Yang Dipertua Negeri atau Islam tidak sepatutnya berlaku kerana kesemuanya telah menjadi simbol negara yang dipersetujui sejak merdeka.
Tambahnya, jika perkara-perkara itu disentuh ia boleh mengundang kemarahan di kalangan rakyat negara ini.
‘‘Tulisan yang mendakwa agama Islam satu penipuan besar terhadap umatnya dengan mengatakan orang Arab meletakkan batu di tengah padang pasir dan umat Islam menyembah batu itu (Kaabah) bukan saja bersifat kurang ajar malah boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
‘‘Perbincangan dan pandangan penulis blog terhadap isu sensitif amat berbahaya kerana apa yang mereka timbulkan boleh menghasut pihak lain yang turut melayari laman itu,’’ katanya.
Beliau berkata, mereka yang didapati bersalah di bawah Seksyen 121b Kanun Keseksaan boleh dipenjara seumur hidup.
‘‘Dengan bertindak, kerajaan sebenarnya tidak menghapuskan kebebasan bersuara tetapi ingin menghapuskan kebebasan menipu.
‘‘Kalau penulis blog ini berasa tidak puas hati, mereka boleh bertanding pada pilihan raya umum akan datang atau mahu mencabar saya di kawasan Parlimen Padang Rengas, saya tidak kisah tapi janganlah tulis berita yang hina agama atau Agong,” katanya.
Tambahnya, beliau juga tidak menolak kemungkinan penulis-penulis blog sepenuh masa dibiayai oleh segelintir pihak.
‘‘Saya tidak menuduh tetapi jika kita lihat 24 jam penulis blog menulis blog dan tak ada kerja lain mungkin ada pembiayaan,” ujarnya ketika menjawab celahan Senator Datuk Ismail Kassim.
|