Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






SASTERA

Pengarang wanita terus menonjol dalam HSKU 2006

Pengarang wanita terus menonjol dalam HSKU 2006

Oleh Azman Ismail

MAJLIS penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006 (HSKU) akan berlangsung malam esok di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur. Ia akan disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Dalam usia 22 tahun penganjurannya, HSKU menjadi semacam kalendar tetap dalam program kesusasteraan tanah air. Sejak ia diwujudkan pada 1985 telah ramai penulis berbakat dilahirkan.

Sebagai penganjur, Kumpulan Utusan bukan saja berbangga kerana mempunyai rekod penganjuran yang begitu lama. Tetapi yang lebih penting Kumpulan Utusan menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan kesusasteraan di negara ini.

Setelah 22 tahun, HSKU karya-karya yang dipertandingkan terutama oleh penulis-penulis muda telah memperlihatkan corak dan hala tuju kesusasteraan yang jelas.

Ia sejajar dengan objektif utama HSKU itu sendiri yang cuba untuk mengambil peranan dalam pengembangan sastera tanah air dan pada masa yang sama merangsang pertumbuhan penulis baru serta menampung ketekalan pengarang mapan dalam berkarya.

Usaha Kumpulan Utusan dan ExxonMobil Exploration & Production Malaysia Inc. itu telah melahirkan sekian banyak pelapis yang akhirnya menjadi peneraju dalam dunia sastera tanah air.

Namun, di sebalik prestij HSKU, sebenarnya ada sisi lain yang cukup menarik iaitu kelahiran penulis-penulis wanita yang hingga kini terus mewarnai pesada sastera tanah air.

Antaranya penulis wanita yang pernah dilahirkan oleh HSKU ialah Tuan Nurizan Raja Yunus, Siti Jasmina Ibrahim, Aminah Mokhtar, Sri Rahayu Mohd. Yusop, Hartini Hamzah, Siti Hajar Mohd. Zaki dan Rokiah Ismail.

HSKU 2006 sekali lagi membuktikan kemampuan penulis-penulis wanita, sejajar dengan hasrat Kumpulan Utusan untuk meningkatkan kelahiran pengarang daripada golongan itu.

Beberapa pengarang wanita menguasai kategori-kategori utama. Antaranya Sri Rahayu Mohd. Yusop sekali lagi membuktikan beliau adalah penulis berbakat dan berupaya mewarnai kesusasteraan tanah air.

Beliau meraih tempat kedua kategori Novel Remaja menerusi novel Odisi Tanah Kencana. Begitu juga bagi kategori Cerpen Remaja. Dua penulis wanita generasi muda menduduki dua daripada tiga hadiah utama.

Rokiah Ismail (Rozais al-Anamy) meraih tempat dalam kategori itu menerusi Cinta Puncak Sagarmatha manakala Kharunnasriah Abdul Salam melalui karya Sehijau Bakau Seteguh Cinta.

Dua daripada tujuh hadiah penghargaan dalam kategori Cerpen Remaja turut dimenangi oleh penulis wanita iaitu Nisah Haron (Pusaka Cendana) dan Rohani Deraman (Warkah Wan Kembang ke T. Pinkie).

Satu daripada tempat bagi hadiah utama kategori Cerpen turut dimenangi oleh penulis wanita iaitu Amaruszati Noor Rahim melalui cerpennya, Batu Bukit Batu Sungai.

Tiga daripada tujuh hadiah penghargaan kategori tersebut turut diraih oleh penulis wanita iaitu Siti Hajar Mohd. Zaki (Dipilihnya Destinasi Itu), Salina Ibrahim (Imam) dan Zaharah Nawawi (Sebatang Besi Buruk).

Bagaimanapun tidak ada penulis wanita meraih tempat sama ada hadiah utama mahupun penghargaan bagi kategori Puisi dan Rencana Sastera.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN