|
Siasat aktiviti salah guna tenaga kanak-kanak – MB
Siasat aktiviti salah guna tenaga kanak-kanak – MB
Oleh SHARIZA ABDULLAH
KUALA NERANG 31 Dis. – Satu siasatan terperinci perlu dijalankan berhubung penggunaan tenaga kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti perniagaan kumpulan tertentu yang dipercayai menjadikan ajaran Islam sebagai topeng mereka bergerak aktif, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut beliau, siasatan itu penting bagi memastikan golongan kanak-kanak tidak dijadikan ‘hamba’ untuk melakukan sebarang kerja demi kepentingan atau keuntungan pihak lain.
‘‘Kalau ikut logik, tidak masuk akal guna tenaga kanak-kanak (untuk menjalankan kerja).
‘‘Ia adalah tidak berperikemanusiaan dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia juga menentang perkara seumpama ini.
‘‘Pihak-pihak yang terlibat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan polis perlu menyiasat secara terperinci masalah tersebut termasuk mengeluarkan arahan baru untuk tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis korban 40 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha bagi Daerah Padang Terap, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kemalangan ngeri di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Sungkai, Perak, Jumaat lalu yang meragut lima nyawa penuntut Pusat Tahfiz Amal, Simpang Empat, Kuala Kedah di sini.
Dalam nahas yang turut mencederakan tiga lagi pelajar, van yang mereka naiki melanggar belakang lori kontena yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 355.7 lebuh raya itu.
Kanak-kanak tersebut dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan bagi membantu pusat berkenaan.
|