|
Pengguna boleh bayar bil air Syabas melalui SMS
Pengguna boleh bayar bil air Syabas melalui SMS
SHAH ALAM 8 Sept — Pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini berpeluang menjelaskan bil air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Perkhidmatan yang ditawarkan Syabas itu dilakukan dengan kerjasama pengendali perkhidmatan pembayaran bil menerusi SMS, Mobile Money International Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Ruslan Hassan berkata, pembayaran bil melalui SMS boleh dibuat dengan membuat arahan pemotongan atau debit secara terus dengan menggunakan kredit kad kendalian Bank Hong Leong atau melalui akaun simpanan/semasa Bank Bumiputra Commerce atau pembayaran SMS melalui “Mobile Cash”.
Bercakap pada sidang akhbar sempena pengenalan kaedah pembayaran bil melalui SMS itu di sini hari ini, Ruslan berkata, pelanggan yang berdaftar dengan sistem itu akan menerima SMS setiap bulan yang menyatakan jumlah bil untuk dijelaskan.
Pelanggan juga akan menerima SMS bagi mengesahkan transaksi yang berjaya.
Ruslan berkata, kira-kira lima peratus daripada 1.5 juta akaun pengguna Syabas dijangka menggunakan sistem itu pada tahun pertama dan peratusan itu dijangka meningkat kepada 10 peratus pada tahun selepas itu.
Bagaimanapun, pelanggan masih boleh membuat bayaran bil secara konvensional antaranya di pejabat pos, pusat perkhidmatan pelanggan Syabas, pusat pembayaran setempat TNB dan Kedai Telekom, kaunter pembayaran DBKL, MBPJ dan pihak berkuasa tempatan yang lain.
Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail dalam ucapannya berkata, menerusi kajian, Syabas mendapati masalah kelewatan pembayaran bil air berpunca daripada kesibukan tugas para pelanggan dan menyebabkan tidak berkesempatan untuk membuat pembayaran di kaunter Syabas atau kaunter-kaunter lain.
Ia juga menyumbang kepada kes bil-bil tertunggak sehingga terjadinya pemotongan bekalan air akibat kegagalan pembayaran bil, katanya. — Bernama
|