|
Telefon bimbit jadi mesin ATM
Telefon bimbit jadi mesin ATM
JIKA anda ingin membeli belah di pasar raya tetapi terlupa atau tidak mempunyai wang tunai dalam dompet, tentulah hasrat tersebut dipadamkan begitu sahaja.Tidak mungkin ada kedai atau pasar raya sanggup memberikan hutang, melainkan anda memiliki kad kredit.Sebuah syarikat tempatan yang berasaskan pembayaran mudah alih, bagaimanapun berjaya mengurangkan keresahan anda dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dengan perkhidmatan Mobile Money Access - To Mobile atau ringkasnya Mobile ATM, anda seolah-olah membawa mesin ATM ke mana sahaja dan boleh membuat pembayaran bila-bila masa dan kepada sesiapa juga.
Perkhidmatan ATM Mobile yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, Mobile Money International Sdn.Bhd. (Mobile Money Intl), merupakan satu perkhidmatan yang pertama seumpamanya di dunia.
Ia menggabungkan teknologi telekomunikasi terkini dengan teknologi maklumat (IT) serta inovasi dalam bidang perbankan.
Perkhidmatan tersebut membolehkan telefon mudah alih berfungsi seperti mesin juruwang peribadi yang lengkap dengan nombor pengenalan diri (PIN)
Ini bermakna pelanggan tidak lagi memerlukan wang tunai, kad kredit, cek atau melayari Internet untuk membayar bil atau membayar di kedai-kedai jualan.
Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut hanya tersedia kepada pelanggan-pelanggan bank yang menyertainya dan berdaftar dengan Mobile Money Intl.
Menurut Pengarah Urusan Mobile Money Intl., Lee Eng Sia, pada masa ini dua buah bank akan mula menawarkan perkhidmatan kepada pelanggannya iaitu Hong Leong Bank dan Bumiputra Commerce Bank.
"Dua buah bank lagi akan menyertai perkhidmatan ini tidak lama lagi,'' katanya kepada media di pejabat syarikat berkenaan, baru-baru ini.
Eng Sia berkata, syarikatnya membangunkan perkhidmatan tersebut sejak tiga tahun lepas dengan kos penyelidikan dan pembangunan antara RM5 juta dan RM5 juta.
Perkhidmatan tersebut katanya, selamat dan mematuhi syarat-syarat Bank Negara Malaysia (BNM) dan sedang dalam proses untuk dipatenkan.
Beliau menjelaskan, terdapat dua cara pelanggan boleh membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan tersebut.
Cara pertama ialah apabila urus niaga dilakukan secara bersemuka di kedai jualan yang mengambil bahagian.
Melalui cara ini, pelanggan hanya perlu memberi nombor eCash kepada peniaga.
Nombor eCash tersebut hanya sah bagi satu urus niaga sahaja. Selepas digunakan, Mobile Money Intl. akan memasukkan satu lagi nombor eCash ke dalam telefon mudah alih secara automatik untuk kegunaan berikutnya.
Bagi kaedah pembayaran kedua, ialah menerusi pembelian barangan dan perkhidmatan melalui telefon, faksimile, e-mel dan secara `on line'.
Dengan kaedah ini, pelanggan akan memberi telefon nombor mudah alih mereka kepada peniaga. Kemudian, pelanggan akan menerima SMS permintaan pembayaran daripada Mobile Money dan bagi tujuan pengesahan pembayaran, pelanggan perlu PIN keselamatan enam digit mereka.
"Cara membeli-belah dan membayar secara segera ini amat sesuai dengan gaya hidup yang kita lalui pada hari ini dan kaedahnya hanya menggunakan telefon mudah alih," katanya.
Menurut Eng Sia, selain mempunyai ciri-ciri memudahkan, perkhidmatan Mobile ATM, juga amat selamat kerana ia merupakan satu sistem lingkaran tertutup.
Sebagai tambahan kepada ciri-ciri keselamatan berasaskan PIN, ia juga mempunyai lapan tahap perlindungan untuk meminimumkan risiko penipuan.
Beliau berkata pada masa ini, syarikatnya telah mempunyai 2,500 peniaga dalam senarainya dan menjangka untuk mengadakan perkongsian sedemikian dengan beberapa peniaga besar tidak lama lagi.
Pada masa ini, syarikat berkenaan telah melantik lebih 5,000 ejen untuk membina rangkaian peniaganya serta menarik ahli Mobile ATM.
|