|
Mobile Money diperluas tahun depan
Mobile Money diperluas tahun depan
Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB
PUCHONG 19 Okt. - Mobile Money International Sdn. Bhd. (Mobile Money) berharap untuk memeterai perjanjian perkhidmatan kemudahan pembayaran menggunakan telefon bimbit (Mobile ATM) dengan dua buah lagi bank tempatan pada tahun depan.
Pada masa ini, terdapat dua buah bank yang menawarkan Mobile ATM kepada pelanggan masing-masing iaitu Hong Leong Bank Bhd. (HLB) dan Bumiputra Commerce Bank Bhd. (BCB), kata Pengarah Urusannya, Lee Eng Sia.
Menurut beliau, perjanjian dengan dua buah bank tempatan itu hanya akan dimulakan pada separuh pertama tahun depan disebabkan pihak bank memerlukan sedikit masa untuk menyediakan infrastruktur.
Ditanya mengenai kedua-dua bank itu, Eng Sia berkata: ``Masih belum boleh diumumkan. Tetapi bank-bank ini mempunyai asas pelanggan yang besar.''
Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung perkhidmatan Mobile ATM di pejabatnya di Pusat Perdagangan Puchong di sini hari ini.
Mobile ATM membolehkan telefon mudah alih berfungsi seperti mesin juruwang peribadi yang yang dilengkapi dengan nombor PIN.
Melalui perkhidmatan ini, pelanggan tidak lagi memerlukan wang tunai, kad kredit, cek atau melayari internet untuk membayar bil atau membuat pembayaran selepas membeli-belah sebaliknya apa yang diperlukan hanyalah sebuah telefon bimbit.
Mengulas lebih lanjut, Eng Sia berkata, perkhidmatan yang ditawarkannya itu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dan kini sedang dalam proses untuk memperoleh hak paten sedunia.
``Kami merancang untuk menjadikan perkhidmatan ini terkenal di Malaysia sebelum dikembangkan ke peringkat global,'' katanya sambil menambah Mobile ATM dijangka mula menyumbang kepada keuntungan syarikat selepas tahun pertama operasi.
Berhubung proses pembayaran pula, beliau berkata, pihaknya menyediakan dua pilihan pembayaran iaitu secara urus niaga bersemuka di kedai dan pembelian secara dalam talian atau telefon.
Bagi pilihan pertama, katanya, pelanggan akan dibekalkan dengan nombor `e-cash' iaitu seperti nombor tambah nilai prabayar yang sah untuk satu urus niaga sahaja.
Katanya, selepas sekali digunakan, Mobile Money secara automatik akan memasukkan nombor e-cash baru kepada pelanggan.
``Melalui pilihan kedua pula, pelanggan perlu memberikan nombor telefon mudah alih serta nombor PIN kepada peniaga,'' jelas beliau lagi.
Ditanya mengenai peniaga yang terlibat pula, katanya, sehingga kini Mobile Money mempunyai 2,500 peniaga sah perkhidmatan itu dan sebanyak 20,000 peniaga lagi masih dalam peringkat permohonan.
``Kami berharap dapat mencapai jumlah 100,000 peniaga dalam tempoh setahun akan datang,'' ujarnya.
|