|
Hong Leong tawar urus niaga guna telefon bimbit
Hong Leong tawar urus niaga guna telefon bimbit
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pemilik kad kredit Hong Leong kini boleh membuat pembelian dan pembayaran melalui telefon bimbit mereka berikutan penawaran khidmat Mobile Money.
Pemegang kad boleh membuat pembelian barangan dari mana-mana sahaja menggunakan sistem pesanan ringkas dari telefon bimbit mereka yang memiliki nombor pengenalan diri (PIN) keselamatan.
Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Kewangan Persendirian Hong Leong Bank Bhd., Peter England berkata, perkhidmatan tersebut nyata menjimatkan masa dan memudahkan pengguna untuk melakukan pembelian.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Hong Leong Bhd. dan Mobile Money International Sdn. Bhd. bagi membekalkan perkhidmatan pembayaran tersebut di sini baru-baru ini.
Sehingga kini, Hong Leong mempunyai 600,000 pengguna kad kredit yang menjana sehingga tujuh peratus pendapatan syarikat perbankan tersebut, kata England.
Katanya, pegangan pasaran kad kredit yang dimiliki oleh Hong Leong ialah 8.5 peratus dan dijangka meningkat 12 peratus melalui perkhidmatan Mobile Money itu.
Kata England, pelanggan yang mendaftar untuk perkhidmatan itu akan diberikan PIN sebagai pengesahan untuk pembelian dan ia hanya boleh digunakan satu urus niaga sahaja. Selepas pembelian itu katanya, pelanggan akan diberikan nombor baru bagi permohonan urus niaga seterusnya.
|