Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






RENCANA

Amanat PM untuk APEC

Amanat PM untuk APEC

Oleh MOHD. NOR AB. SAMAD

(Di Bangkok, Thailand)
MESEJ Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ialah: Wujudkan satu peraturan perdagangan global yang bukan saja bebas tetapi adil dan saksama kepada negara membangun, miskin dan lemah; dan: APEC perlu kembali ke matlamat asal - bincang isu ekonomi daripada menjadi forum keselamatan.

Jika ini dapat direalisasikan, APEC yang diwujudkan pada November 1989 atas sebab ekonomi akan dapat bertahan dan terus menjadi relevan bagi menjaga kepentingan negara-negara kecil daripada terus dijajah dan ditekan oleh negara maju serta kaya.

Amanat Dr. Mahathir pada sidang kemuncak APEC yang terakhir baginya sebelum bersara sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober ini mempunyai banyak kebenarannya, walaupun disanggah dan ditentang oleh negara maju, seperti biasa diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).

Jika dilihat daripada sejarah bermulanya era globalisasi awal 1980-an dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), negara-negara maju dan kaya yang merangka agenda perdagangan untuk dunia.

Bagi mereka untuk mewujudkan perdagangan global yang sihat dan baik untuk negara-negara membangun, miskin dan lemah, jalan keluarnya ialah perdagangan dan pelaburan bebas serta telus.

Ini bermakna, syarikat-syarikat gergasi mereka boleh melabur dan bertapak di mana-mana juga negara di dunia tanpa ada sebarang sekatan atau halangan perdagangan.

Apa akan berlaku pada syarikat-syarikat tempatan dan industri domestik? Mana mungkin mereka bersaing secara adil dengan syarikat gergasi dari negara maju yang mempunyai segala-galanya.

Negara maju melihat globalisasi merupakan ubat yang baik untuk pertumbuhan ekonomi negara-negara Dunia Ketiga khususnya.

Bagaimanapun, krisis kewangan bermula dengan kejatuhan mata wang Baht menyebabkan persepsi dunia mengenai globalisasi terus bertukar.

Kesan krisis kewangan pada pertengahan 1997 menyaksikan negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Rusia dan Korea Selatan berhempas pulas untuk menyelamatkan diri daripada cengkaman penyangak dan spekulator mata wang dunia.

Apa yang berlaku itu, kini menjadi sejarah pahit khususnya bagi Indonesia yang terpaksa menyaksikan bukan sahaja kejatuhan ekonomi tetapi juga kerajaan mereka. Tetapi jika dunia tidak berjaga-jaga, krisis itu mungkin berulang lagi dan jika berlaku, kesannya lebih teruk daripada sebelumnya.

Jika dihalusi, punca globalisasi ciptaan Barat ditolak oleh negara membangun dan kegagalan rundingan perdagangan pelbagai hala di Cancun, Mexico pada pertengahan September lalu, disebabkan agendanya dirangka oleh negara maju untuk memenuhi selera mereka.

Sebab itu, Dr. Mahathir ketika membincangkan isu globalisasi, cabaran dan ketidakadilan pada mesyuarat APEC-CEO, mahu agenda perdagangan turut datang dari negara membangun.

Menurut Dr. Mahathir: ``Perdagangan yang adil tentunya bebas, tapi perdagangan yang bebas belum tentu adil.'' Pembuat agenda WTO lupa agaknya, 70 daripada 146 anggota pertubuhan itu mewakili negara-negara membangun.

Walaupun Malaysia dicap sebagai antara Kumpulan 21 yang menyebabkan mesyuarat peringkat menteri kelima di Cancun gagal mencapai sebarang persetujuan dan kompromi berhubung isu perdagangan, Dr. Mahathir terus memperjuangkan agenda itu di Bangkok.

Sepatutnya Dr. Mahathir boleh melupakan agenda itu dan mengelak daripada terus membuat kenyataan yang kontroversial di sidang kemuncak APEC, apatah lagi ia turut dihadiri oleh pemimpin yang paling berkuasa di dunia, George W. Bush.

Bagaimanapun Dr. Mahathir tetap Dr. Mahathir. Beliau akan terus bercakap perkara yang benar dan baik untuk dunia walaupun ia ditentang keras oleh negara maju seperti AS dan `syerif' baru, Australia.

Barang diingat, apa yang ditekankan oleh Dr. Mahathir bukan untuk kepentingan Malaysia semata-mata. Perdagangan yang adil adalah untuk semua negara daripada negara kaya dan maju sehinggalah ke negara yang paling miskin dan lemah.

Kalau kita lihat sejarah APEC sepintas lalu, semuanya berkisar ke arah kepentingan ekonomi. Ia bermula pada awal 1980-an apabila Australia dan Jepun mencadangkan supaya diwujudkan kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik. Bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat sokongan daripada ASEAN yang ketika itu, jika dilaksanakan tidak banyak membawa keuntungan kepada mereka.

Bagaimanapun ia menjadi kenyataan pada November 1989, bagi menjaga kepentingan ekonomi rantau Asia Pasifik yang ketika itu baru pulih daripada kemelesetan ekonomi pertengahan 1980-an dan sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak. Ia juga sebagai persediaan menghadapi blok perdagangan yang akan berlaku seperti di Eropah.

Apabila mesyuarat tidak formal diadakan buat pertama kalinya membabitkan pemimpin-pemimpin ekonomi di Blake Island, dekat Seattle, AS, pada 1993, satu persetujuan dicapai ke arah mewujudkan kerjasama bersama bagi meningkatkan ekonomi serantau.

Pada sidang kemuncak kedua, ketua-ketua ekonomi APEC atau AELM pada 1994, di Bogor, Indonesia, para pemimpin bersetuju mewujudkan satu sasaran untuk mencapai matlamat yang digariskan di Blake Island.

Melalui Deklarasi Bogor, negara maju dan perindustrian diberi tempoh sehingga 2010 manakala negara membangun diberi masa 2020 untuk membuka pasaran mereka tanpa sebarang sekatan dan halangan perdagangan. Lebih tepat lagi, ke arah mewujudkan perdagangan dan pelaburan yang bebas dan telus.

Bagaimanapun semasa sidang kemuncak di Subic, Filipina pada 1996, cadangan daripada Malaysialah yang menyebabkan apa jua keputusan yang diambil dalam mesyuarat itu tidak boleh mengikat mana-mana negara.

Sejak itu, forum APEC sehinggalah ke Bangkok, tidak mengikat, longgar dan dilaksanakan secara sukarela mengikut kesediaan dan kesesuaian 21 negara anggota.

Anggota APEC tidak dikenali sebagai negara tetapi ekonomi, ekoran isu `satu China.' APEC bukan sahaja dianggotai oleh China, kuasa ekonomi baru tetapi juga Taiwan dan Hong Kong.

Berdasarkan kepada sejarah itu, dapatlah dilihat bahawa teras perjuangan APEC yang awal-awal lagi dirangka oleh negara maju, mewujudkan perdagangan bebas dan telus.

Sejak itu, hampir kesemua mesyuarat tidak formal APEC, pihak negara maju terus memaksa dan menekan negara membangun tentang pentingnya perdagangan terbuka tanpa sekatan. Kononnya ia baik untuk pertumbuhan ekonomi mereka dan dunia.

Ini yang diperjuangkan oleh Malaysia dan Dr. Mahathir - adil dan bebas. Sehubungan itu Malaysia mahu melihat APEC keluar dengan satu cadangan yang praktikal dan boleh diterima oleh semua negara - satu peraturan dunia yang bukan saja bebas tapi adil dan saksama.

Ada negara yang melihat APEC boleh menjadi tidak relevan ekoran wujudnya elemen baru dalam perdagangan dunia iaitu peraturan perjanjian dua hala (FTA) dan serantau (RTA).

Justeru, APEC akan disusun semula dan ini yang akan dilakukan oleh Jepun supaya ia menjaga kepentingan ekonomi semua negara. Dalam pada itu, perlu diingat, pemain-pemain utama dalam WTO ada dalam APEC seperti AS, Jepun, China, Kanada, Malaysia dan India.

Untuk memastikan rundingan perdagangan global mencapai matlamatnya, walaupun gagal di Cancun, ia boleh dimulakan semula bermula daripada sidang kemuncak APEC di Bangkok.

WTO perlu mengambil kira pandangan negara kecil. Agenda WTO perlu disusun semula dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua negara di dunia.

WTO jangan membiarkan diri mereka menjadi alat atau kuda tunggangan negara kaya dan maju. Kepentingan ekonomi negara membangun dan kecil juga perlu diambil kira. Apa tah lagi, itulah teras wujudnya WTO sebagai pembela nasib negara membangun, miskin dan lemah.

Ini menjadikan sidang kemuncak APEC ke-12 di Lagos, Chile penting sebab ia semakin hampir dengan tarikh akhir yang ditetapkan untuk mencapai matlamat Agenda Pembangunan Doha (DDA).

Sidang kemuncak di Bangkok ini juga penting sebab ia memastikan rundingan perdagangan WTO dapat disambung semula. Selama perbincangan dua hari ini, pemimpin APEC yang diketuai oleh AS mahu melihat rundingan perdagangan itu diteruskan.

Bagi Malaysia yang biasanya menjadi jurucakap negara membangun, rundingan itu bukan sahaja perlu diteruskan tetapi agendanya perlu baru yang mengambil kira kepentingan semua negara. Lebih daripada itu, perdagangan global yang dicadangkan itu perlu adil dan saksama.

Dalam pada itu, kebimbangan Malaysia mengenai forum APEC bertukar menjadi forum keselamatan sewajarnya dikongsi bersama oleh negara-negara lain.

Bagi Dr. Mahathir: ``APEC perlu kembali ke matlamat asal penubuhannya. Terdapat tanda-tanda yang matlamatnya sudah makin menyimpang - tidak lagi membincangkan isu ekonomi.

``Isu keselamatan, ketenteraan dan politik boleh dibincangkan dalam forum lain yang membabitkan semua negara. Ini kerana isu keganasan bukan hanya terhadap pada AS dan negara APEC malah satu dunia.''

Kebimbangan Dr. Mahathir itu ada asasnya. Semasa Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada 1998, `isu Al-Gore' menjadi fokus. AS cuba campur tangan dalam politik tempatan yang ketika itu sibuk membabitkan penyokong reformasi.

Setahun kemudian di Auckland, New Zealand, isu hak asasi kemanusiaan di Timor Timur pula menjadi teras perbincangan.

Apabila AS antara negara pengasas APEC diserang oleh kumpulan pengganas pada 11 September 2001, isu keganasan pula terus mendominasi agenda perbincangan daripada Shanghai, China (2001), Los Cabos, Mexico (2002) dan kini di Bangkok (20 dan 21 Oktober 2003).

Malaysia mahu isu ekonomi menjadi teras tapi AS pula mahu ia dibincangkan bersama kerana saling berkaitan.

Setiausaha Negara AS, Colin Powell semasa mewakili Bush dalam APEC-CEO menegaskan, AS mahu sidang memberi tumpuan kepada isu keselamatan. Bagi AS, isu keselamatan tidak boleh dipisahkan dan tidak mahu ia menjadi isu sampingan.

Sepanjang persidangan, cadangan AS berhubung usaha untuk menyekat pengedaran penggunaan senjata Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (Manpads) menguasai perbincangan.

AS bimbang jika Manpads jatuh ke tangan pengganas ia boleh menyebabkan berulangnya tragedi di Kenya pada November 2002. Kesan daripada serangan ke atas pesawat awam itu menyebabkan ekonomi Kenya merudum termasuk industri pelancongannya sehinggalah ke hari ini.

Apa yang jelas sepanjang sidang kemuncak APEC bermula daripada peringkat pegawai kanan (SOM) 14 dan 15 Oktober, diikuti peringkat menteri luar dan perdagangan (17 dan 18 Oktober) dan pemimpin ekonomi, pertubuhan itu terus terbahagi dua walaupun tidak berpecah.

Memang semua negara mahu mewujudkan perdagangan bebas tapi negara kaya terus mempertahankan agenda yang mereka rangka untuk kepentingan sendiri, negara membangun bimbang kesannya kepada ekonomi mereka, jika itu menjadi realiti.

Bagi Malaysia, jalan keluarnya mudah. Seperti pesan Dr. Mahathir pada anggota APEC dan WTO.

``Duduk dan berbincang semula. Rangka agenda perdagangan yang baru yang melibatkan kepentingan semua negara - kaya dan miskin.'' Terlebih dahulu, sebelum berbincang, negara maju perlulah menerima hakikat bahawa negara membangun dan miskin juga mempunyai `suara dan hak' dalam menggubal peraturan perdagangan baru global. Ia bukan hak mutlak negara kaya dan maju semata-mata.

Sekiranya agenda yang dirangka itu diterima oleh semua negara, walau apa jua perbincangan dan di mana ia diadakan, baik di APEC atau WTO, ia pasti berakhir dengan persetujuan bersama.

Akan tetapi sekiranya agenda seperti di Cancun terus menjadi teras dan perjuangan negara maju dan WTO, jawapannya sudah boleh diramalkan.

Sejarah 14 September 2003 di Cancun, Mexico yang menyaksikan rundingan perdagangan itu gagal akan berulang lagi. Apabila ini berlaku, ketidakadilan dalam perdagangan akan terus bermaharajalela. Yang pasti dan terus menerima padahnya ialah negara membangun dan kecil. Inilah yang terus diperjuangkan oleh Dr. Mahathir - perdagangan adil - walaupun akan bersara hujung bulan ini.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN