|
BISIK-BISIK MINGGUAN - AWANG SELAMATM
BISIK-BISIK MINGGUAN - AWANG SELAMATM
MENGURANGKAN CUKAI Setiap kali mengisi borang cukai pendapatan, Awang akan berangan-angan alangkah seronoknya jika kita tidak payah membayar cukai. Wang yang hendak diguna untuk membayar cukai boleh diguna untuk macam-macam - beli rumah, beli dusun atau mungkin juga beli kapal layar.
Jika tidak membeli harta, boleh pergi makan angin seantero dunia atau beli sports car supaya lebih anggun dan bergaya. Tapi semua ini hanyalah angan-angan.
Hakikatnya, cukai bukan hanya mesti dibayar, tapi perlu dibayar tanpa sebarang kelengahan. Malah, dibayar setiap bulan melalui potongan gaji. Itu pun sering tidak mencukupi dan terpaksa ditambah lagi pada hujung tahun.
Selain cukai pendapatan, kita ada bermacam-macam cukai. Oleh kerana cukai pendapatan adalah yang paling perit, Awang ingin mencadangkan kepada kerajaan apalah sudi kiranya mengkaji semula struktur cukai bagi pendapatan individu agar ia dapat diringankan sedikit.
Sungguhpun sering berangan-angan kita tidak payah membayar cukai, Awang cukup mengerti kenapa kita kena bayar cukai. Sebab itu, Awang tidak tergamak hendak meminta supaya cukai pendapatan dihapuskan.
Maka permintaan yang paling munasabah ialah merayu agar ia dikurangkan. Betul, kerajaan akan hilang pendapatan, tapi Awang yakin kehilangan itu dapat ditampungi dengan menaikkan cukai bahan-bahan lain yang tidak perlu seperti rokok dan arak serta barangan mewah.
Dalam belanjawan lalu cukai rokok dan arak langsung tidak dinaikkan padahal kerajaan juga yang memberi amaran bahawa kedua-duanya bahaya kepada kesihatan dan mahu rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.
Bagi belanjawan tahun 2004 yang akan dibentangkan 12 September ini, Awang berharap kerajaan tidak akan bermurah hati lagi kepada perokok dan kaki minum. Kenakanlah cukai yang tinggi. Lagipun harga rokok di Malaysia adalah antara yang termurah di dunia.
Sebaliknya, bermurah hatilah dengan mengurangkan atau menghapuskan sebilangan daripada cukai yang melibatkan semua orang. Kenapa tidak hapuskan cukai jalan bagi kenderaan persendirian? Jika ini terlalu besar, mungkin boleh dikecualikan cukai jalan bagi kenderaan tidak mewah atau bagi motosikal.
Semua orang kata belanjawan 2004 adalah belanjawan pilihan raya. Tapi bagi Awang, belanjawan yang lalu pun boleh dikira belanjawan pilihan raya juga. Ada juga orang kata oleh kerana belanjawan kali ini yang terakhir bagi Dr. Mahathir, mereka berangan-angan akan ada durian runtuh. Jika ada, Awang harap ia dalam bentuk pengurangan cukai.
Belanjawan negara adalah suatu yang serius yang perlu seimbang dengan mengambil kira kepentingan semua termasuk memelihara suasana ekonomi.
Satu langkah yang perlu dibuat bersungguh-sungguh ialah mengecilkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang tidak.
APABILA KITA TERBUKTI BETUL INGAT gambar ini? Yang berdiri memerhati itu Michel Camdessus, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Yang terbongkok memakai songkok itu Suharto, bekas Presiden Indonesia, negara Islam terbesar di dunia.
Apa yang tertera dalam gambar ini adalah suatu yang melukakan. Ia tentang maruah bangsa dan kedaulatan negara. Suharto terpaksa `menyerah diri' kepada IMF ekoran krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997.
Apa yang berlaku kepada Indonesia hampir-hampir berlaku kepada Malaysia. Jika ia berlaku kepada Malaysia, Awang tidak dapat bayangkan kedudukan dan keadaan kita hari ini.
IMF di bawah Camdessus menyelar langkah-langkah yang diambil oleh Malaysia bagi menangani krisis kewangan ketika itu. Kita menolak IMF dan menangani krisis tersebut dengan cara kita sendiri. Ada juga di kalangan kita yang tidak menyokong dan lebih cenderung menyerah diri kepada IMF.
Langkah kerajaan mengenakan kawalan modal dijadikan satu kontroversi. Begitu juga langkah mengikat ringgit dengan dolar Amerika pada kadar RM3.80. Camdessus menyifatkannya sebagai langkah songsang.
Lima tahun sudah berlalu. Camdessus pun sudah tiada lagi di IMF. Dia digantikan dengan Dr. Horst Koehler. Koehler berada di Kuala Lumpur minggu lalu. Pandangannya terhadap Malaysia ternyata berlainan daripada Camdessus.
Koehler yang mengambil alih IMF pada tahun 2000 berkata: ``Mahathir betul... prestasi ekonomi sejak krisis itu menunjukkan dia betul.'' Jika sebelum ini IMF mengakui bahawa Malaysia betul, kini ia secara langsung mengakui bahawa Perdana Menteri kita telah melakukan apa yang betul.
Awang tertanya-tanya sama ada Camdessus akan membuat pengakuan yang sama andainya beliau masih Pengarah Urusan IMF.
Tapi itu tidak penting. Yang penting, hari ini IMF sendiri mahu mengambil formula Malaysia dalam merangka dasarnya bagi membantu negara-negara membangun yang menghadapi masalah.
Kata Koehler, apa yang Malaysia lakukan amat berguna untuk dipelajari oleh IMF kerana ia dapat menstabilkan sistem kewangan antarabangsa dan memberikan peluang lebih baik kepada ekonomi negara membangun. Kita tidak akan mendengar kata-kata ini lima tahun yang lalu.
Komen Koehler, Awang harap, menandakan bermulanya satu hubungan baru di antara badan dunia itu dengan Malaysia. IMF akhirnya menerima hakikat bahawa sesuatu dasar yang dianggapnya baik dan berkesan tidak semestinya boleh diguna pakai di semua negara dan bahawa kadangkala langkah di luar kebiasaan perlu diambil bagi menyelesaikan masalah.
Sesungguhnya, keberanian Dr. Mahathir untuk mengambil langkah luar biasa itulah yang telah menyelamatkan Malaysia daripada krisis kewangan 1997-98.
AMERIKA, ISLAM, INDONESIA MENURUT satu laporan dari Jakarta, sekumpulan orang yang dianggap pakar dari Amerika Syarikat akan mengunjungi Indonesia tidak lama lagi dalam usaha `memahami Islam' di republik yang mengandungi 220 juta penduduk itu.
Selama ini, mereka menumpukan perhatian kepada Asia Barat kerana menyangka semua tentang Islam berada dan berlaku di sana.
Awang terpaksa bertanya sama ada mereka benar-benar hendak memahami Islam atau mereka ada agenda lain.
Walaupun kerosakan telah berjaya dilakukan ke atas Indonesia - negara Islam terbesar di dunia - Awang harap Amerika akan menemui dan faham keadaan sebenar di republik itu.
Islam di Indonesia bukan semacam Islam di Asia Barat. Terdapat kepelbagaian pemikiran tentang Islam. Pun begitu, dalam kepelbagaian tersebut terdapat unsur-unsur progresif yang kuat yang tidak terdapat di mana-mana negara Islam lain.
Daripada unsur progresif itulah akan terbit unsur toleransi ke arah mencapai kestabilan, keharmonian serta keamanan.
Inilah yang diperlukan oleh Indonesia hari ini setelah ia melalui pergolakan politik, kegawatan ekonomi, gerakan pemisahan serta kemunculan puak militan.
Awang harap Amerika akan menemui hakikat ini dan tidak hanya menumpu kepada gerakan militan yang bukan pun berada dalam arus perdana.
Jika ia benar-benar jujur, Amerika janganlah hendaknya melakukan apa-apa yang boleh menyekat perkembangan kumpulan yang progresif itu.
Satu lagi perkara menarik tentang golongan progresif di Indonesia ialah, mereka tidak mempunyai matlamat membentuk sebuah negara Islam. Sebabnya, mereka tidak mahu Islam dijadikan ideologi politik yang boleh digunakan untuk memecahbelahkan rakyat.
Bagi golongan progresif itu, kesucian agama hendaklah dilindungi dan tidak dibiarkan tercemar oleh politik. Yang penting bagi mereka ialah prinsip-prinsip agama ditegakkan.
Amerika akan terperanjat mendapati golongan yang cenderung ke arah pemikiran keras terhadap agama terdiri daripada pelajar universiti dari kelas menengah dan elit. Di Indonesia, mereka yang berpemikiran militan tidak semestinya datang dari golongan bawah yang menghadapi tekanan hidup.
Masalahnya, Amerika selalu tersilap tentang Islam. Awang harap kali ini mereka tidak tersilap lagi.
Kumpulan `pakar' itu juga akan mengunjungi negara-negara lain atas misi yang sama dan akan melaporkan apa yang mereka temui kepada Presiden Bush.
Awang harap Amerika mendapat pengajaran daripada apa yang telah berlaku dan membantunya menggubal dasar yang betul, terbuka dan konstruktif tentang dunia Islam.
|