|
Bakat muda karya eksperimental menyerlah
Bakat muda karya eksperimental menyerlah

SEBAHAGIAN daripada pelukis yang mengambil bahagian dalam Bakat Muda Sezaman 2000 di BSLN, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Karya yang ditampilkan cenderung berbentuk instalasi, multimedia dan arca dengan pelbagai mesej, imej, konsep dan teknik serta media.
Merenungi karya yang dipamerkan pada pertandingan ini di Galeri 2A dan 2B, BSLN, Kuala Lumpur yang berlangsung hingga Februari ini, terlihat jelas pelukis muda ini sedang 'mengisi' perkembangan seni tampak kontemporari Malaysia.
Mereka tidak sekadar mengetengahkan kebebasan berkarya tetapi juga idea baru dengan bahan-bahan yang lebih terkini seperti penggunaan disket, audio visual dan sistem elektronik.
Malah, karya-karya yang dipamerkan juga cenderung mengangkat persoalan semasa yang berkait dengan isu politik, sosiobudaya, pemikiran masyarakat dan sebagainya.
Ini terlihat dalam karya-karya seperti 'Thirteen Over Infinity' (Mohd. Saharuddin Supar), 'Pintu' (Fadzil Idris), 'Voice Without a Sound' (Mohd. Faizal Sidik), 'Bahagian Esok Hari' (Ooi Kooi Han) dan 'Untuk Kita Renungkan' (Azman Ismail).
Antara pelukis yang mengambil bahagian ialah Aznan Omar, Fadzil Idris, Bibi Chew Chon Bee, Mohd. Saharuddin Supar, Roslisham Ismail, Azman Ismail, Fairus Ahmad dan Wong Yen Lee.
Mengimbas kembali BMS, anugerah yang diadakan sejak 1974 ini berjaya membuka ruang, dorongan dan pengiktirafan kepada kelahiran generasi pelapis seni tampak tanah air.
Dalam masa yang sama BMS juga berusaha memupuk, mencungkil bakat, membina suasana daya saing positif di kalangan artis muda dan menerapkan apresiasi seni di kalangan masyarakat, sejajar dengan keperluan alaf baru.
Pada BMS 2000, pertandingan ini muncul dengan format baru. Ia menetapkan pertandingan ini akan diadakan dua tahun sekali. Tahun ini untuk tujuan pendidikan dan program bimbingan kepada para pelukis.
Proses penghakiman pula dibuat melalui dua peringkat iaitu peringkat pertama melalui slaid. Manakala peringkat kedua pula melalui karya sebenar yang mesti memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Panel BMS 2000 ialah Joseph Tan, Ramlan Abdullah, Shahnaz Mohd. Saad, Baverly Yong dan panel jemputan dari Universiti Filipina, Brenda Fajardo.
Sementara itu, BMS 2000 telah menerima sebanyak 83 karya. Sebanyak 27 dipamerkan termasuk 10 karya yang dinobatkan sebagai pemenang oleh barisan panel hakim.
Antara kriteria yang ditetapkan ialah nilai kreatif pelukis dalam menggunakan medium serta pengolahan idea serta konsep, ekspresi dan teknik, gaya artistik serta keberkesanannya. Ia turut merangkumi interpretasi terhadap bahan yang digunakan.
Pemenang perdana BMS 2000 akan menerima RM10,000 bersama geran perjalanan ke salah satu negara ASEAN bernilai RM3,000 serta penerbitan folio bersama BSLN bernilai RM2,000.
Tiga hadiah juri masing-masing menerima RM5,000 dan geran perjalanan ke salah satu negara ASEAN bernilai RM3,000. Enam pelukis akan menerima hadiah penghargaan masing-masing berupa wang tunai RM1,000.
|