|
Kawalan mata wang kekal - PM
Kawalan mata wang kekal - PM
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kawalan tukaran mata wang Malaysia akan dikekalkan kerana sistem kewangan antarabangsa masih belum direformasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, walaupun keadaan sudah nampak tenang, risiko serangan lanjut masih ada kerana pedagang mata wang masih tidak dapat dikawal.
''Ia juga tidak menyakitkan kita, jadi kenapa perlu diubah? Semua (ahli) perniagaan gembira,'' katanya dalam majlis dialog sempena seminar sehari Ramalan Perniagaan Malaysia anjuran Strategic Intelligence (M) Sdn. Bhd. yang dihadiri oleh ahli ekonomi terkemuka, Profesor Paul Krugman, di sini hari ini.
Kata Dr. Mahathir, perdagangan mata wang mempunyai dana 20 kali lebih besar daripada dana untuk keseluruhan perdagangan barangan dan perkhidmatan di dunia, tetapi hanya beberapa ribu orang sahaja yang meraih keuntungan berbilion-bilion daripada kegiatan itu.
Selain itu, tambah Perdana Menteri, peluang pekerjaan atau perniagaan yang ditawarkan oleh industri itu amat sedikit.
''Kegiatan lindung nilai hanya meningkatkan kos perniagaan. Tetapi yang paling dahsyat ialah perdagangan mata wang telah memusnahkan seluruh ekonomi, negara dan rantau, menjadikannya tidak stabil dari segi politik dan mengakibatkan kesengsaraan tidak terhingga kepada beratus-ratus juta orang," katanya.
Menurut Dr. Mahathir, kawalan modal dan penentuan kadar tukaran mata wang ringgit adalah dua perkara yang berbeza dan harus dilihat secara berbeza.
''Kita tidak lagi mengawal modal, ia bebas untuk keluar masuk. Mereka (pelabur) boleh melabur dan keluar semula.
''Tetapi modal untuk pelaburan di pasaran saham susah sikit, kerana boleh dimanipulasi. Ia membimbangkan,'' katanya.
Selepas mengenakan kawalan pada 1 September 1998 yang menghalang pengeluaran modal selama setahun, kerajaan melonggarkannya melalui pengenalan sistem cukai keluar mulai 15 Februari lalu.
Penetapan nilai ringgit pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar AS bagaimanapun dikekalkan.
Sementara itu, Krugman berkata, beliau yakin struktur kewangan dunia yang baru tidak akan wujud kerana tidak ada usaha serius dilaksanakan untuk menjadikannya satu kenyataan.
''Saya tidak nampak sebarang perubahan serius berlaku, malah dorongan bagi sebarang perubahan serius juga telah lenyap,'' kata Krugman.
|