Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Hadapi cabaran bersama -- PM ajak China tentang kuasa luar eksploitasi Asia Timur

Hadapi cabaran bersama -- PM ajak China tentang kuasa luar eksploitasi Asia Timur

BEIJING 19 Ogos - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengajak Republik Rakyat China bersama-sama bangkit menghadapi pelbagai cabaran dalam abad ke-21, terutamanya daripada kuasa-kuasa luar yang mahu mengeksploitasi kelemahan.

Perdana Menteri berkata, 100 tahun dahulu menjelang berakhirnya abad ke- 19 dan bermulanya abad ke-20, negara-negara Asia Timur tidak memiliki apa-apa untuk ditunjukkan kepada dunia kerana berada di bawah kuasa penjajah.

Sekarang, 100 tahun kemudian ketika abad ke-20 akan berakhir dan menuju abad ke-21, keadaan berubah apabila penjajahan berakhir dan Malaysia, China bersama-sama negara jiran berjaya mencapai kemajuan ekonomi dan pembangunan yang menggalakkan.

Bagaimanapun, menjelang tahun-tahun terakhir abad ini, negara-negara Asia Timur masih tidak terlepas daripada cabaran apabila kuasa-kuasa luar masih berminat mengeksploitasi kelemahan-kelemahan yang ada.

Oleh kerana itu, kata Dr. Mahathir, demi kepentingan bersama dan juga Asia Timur pada keseluruhannya, China dan Malaysia mesti bangkit menghadapi cabaran kerana kejayaannya akan membawa banyak faedah kepada rakyat kedua negara dan negara serantau.

''Kemakmuran masyarakat Asia Timur dalam alaf baru ini merupakan satu usaha mulia dan setimpal dengan apa yang kita usahakan,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Forum Malaysia-China ke-3 yang diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik kedua negara di sini hari ini.

Turut berucap ialah Naib Perdana Menteri China, Li Lanqing.

Menurut Dr. Mahathir, krisis ekonomi dan kewangan yang melanda rantau ini dua tahun terakhir abad ini memberi isyarat jelas kepada Malaysia dan China dan juga lain-lain negara serantau bahawa terdapat cabaran-baran besar yang perlu dihadapi dalam abad ke-21.

Beliau memuji sikap China yang mengambil berat tentang krisis kewangan yang dihadapi oleh Asia Timur dengan tidak menurunkan nilai mata wang yuan walaupun menghadapi tekanan yang kuat.

Katanya, kerjasama Beijing dan rasa tanggungjawab yang tinggi itu telah menyelamatkan rantau ini daripada mengalami krisis kewangan yang lebih teruk.

"Ini kerana penurunan nilai mata wang renminbi pasti akan mencetuskan penurunan nilai mata wang negara-negara yang terlibat dengan krisis kewangan," jelanya.

Dr. Mahathir bagaimanapun berkata, walaupun cabaran masih wujud tetapi beliau melihatnya sebagai peluang-peluang meningkatkan hubungan dua hala.

Serentak itu Perdana Menteri mengajak China bekerjasama dengan Malaysia dan lain-lain negara jiran untuk memastikan pemulihan ekonomi yang terjamin bagi Asia Timur.

Katanya, krisis ekonomi yang berlaku telah mencetuskan rasa penting diwujudkan tabung serantau bagi membantu negara-negara yang menghadapi masalah kewangan yang kritikal mendapatkan bantuan bagi mengelak keruntuhan ekonomi negara berkenaan.

Bagi jangka sederhana, tambahnya, China dan Malaysia harus mengkaji bersama-sama negara jiran yang lain bagaimana Tabung Kewangan Asia yang dicadangkan oleh Jepun itu boleh dijadikan satu realiti.

Perdana Menteri menyedari cadangan asal Jepun telah ditentang oleh Amerika Syarikat dan juga Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bagaimanapun, Jepun telah menghidupkan semula cadangan tersebut dan Malaysia percaya ia adalah satu konsep yang wajar disokong.

''Adalah juga baik jika cadangan itu mendapat sokongan China. Kuala Lumpur dan Beijing boleh membincangkan perkara itu untuk mengkaji, bersama-sama dengan negara jiran yang lain, bagaimana menggalakkan Jepun mewujudkan tabung tersebut,''katanya.

Dr.Mahathir sekali lagi memuji China kerana tidak menurunkan nilai mata wangnya dan ini membuktikan sikap ambil berat rakyat china terhadap negara jiran yang menghadapi krisis ekonomi.

"China tidak menurunkan nilai mata wangnya tahun lalu dan kami percaya China juga tidak akan melakukannya tahun ini. Rakyat Malaysia amat menghargai rasa tanggungjawab yang ditunjukkan oleh China", tegasnya.

Untuk mengelak berulangnya kehancuran ekonomi, Perdana Menteri mencadangkan supaya China dan Malaysia bekerjasama menyuarakan pendapat dan bersama-sama dengan negara-negara Asia Timur mendesak negara-negara maju berusaha mewujudkan satu bentuk kewangan global yang baru.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia dan China mempunyai sistem politik dan sosial yang berbeza, kedua-dua negara tidak membenarkan perbezaan itu menghalang perhubungan dan sentiasa memikirkan apakah yang boleh merapatkan lagi hubungan demi faedah bersama.

Daripada: ABDULLAH HASSAN

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN