Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Ringgit paling rendah -- 'Operasi campur tangan' terpaksa diambil - Anwar

Ringgit paling rendah -- 'Operasi campur tangan' terpaksa diambil - Anwar

KUALA LUMPUR 7 Jan. _ Ringgit menjunam ke paras paling rendah terbaru pada 4.8800 berbanding dolar Amerika sehingga terpaksa dipulihkan hari ini melalui campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Campur tangan bank pusat itu, menurut peniaga mata wang, berjaya menaikkan ringgit untuk ditutup pada 4.5950.

Bagaimanapun nilainya 5.75 peratus lebih rendah daripada 4.3450 pada penutup semalam.

Kejatuhan ringgit itu juga telah menjejaskan sentimen di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang menyaksikan indeks komposit hampir-hampir melepasi tahap sokongan 500 mata apabila jatuh ke paras terendah 501.59 mata sebelum meningkat semula untuk ditutup pada 521.00 mata - kesan campur tangan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu kenyataan petang ini berkata, ''operasi-operasi campur tangan'' telah dijalankan untuk memastikan keadaan stabil bagi membolehkan pasaran tukaran asing berjalan dengan cekap.

''Sementara Malaysia terus mengamalkan dasar ketelusan bagi kadar pertukaran, ia (kadar pertukaran mata wang) sepatutnya mencerminkan asas-asas dasaran.

''Ia tidak seharusnya menjadi satu keadaan dalam mana kadar pertukaran menentukan dasaran,'' katanya.

Isnin lalu, Anwar menegaskan BNM dibenarkan untuk campur tangan dalam pasaran tukaran wang asing bagi memastikan nilai ringgit dapat distabilkan.

BNM perlu cukup pembiayaan dan kuasa untuk mempertahankan ringgit apabila diperlukan dan sentiasa mengawasi perkembangannya di pasaran, katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ringgit kini berada di bawah nilai dalam satu persekitaran keadaan pasaran yang amat tidak stabil.

Beliau menyatakan bahawa bagi sebuah ekonomi terbuka seperti Malaysia, perkembangan itu akan merosakkan dasaran ekonomi dan kewangan jika dibenarkan berterusan dalam satu tempoh yang panjang.

Kata beliau, dasar-dasar telah diperkenalkan bagi memastikan prospek ekonomi dalam tempoh jangka pertengahan dan jangka panjang.

''Kita yakin bahawa dasar-dasar itu akan meningkatkan daya ketahanan ekonomi dan sistem kewangan dalam membuat penyesuaian semasa tempoh yang sukar ini,'' tambahnya.

Sejak Julai lalu, ringgit telah merosot sehingga melebihi 80 peratus berbanding dolar.

Mata wang-mata wang Asia lain turut menjunam hari ini di tengah-tengah kebimbangan pasaran antarabangsa terhadap pembentangan belanjawan 1998 Indonesia semalam.

Rupiah yang mengalami tekanan selepas pengumuman belanjawan yang menambah perbelanjaan pemerintah sebanyak 32 peratus, telah menjejaskan harapan pasaran bagi satu rancangan pembaharuan di negara itu.

Apabila pasaran dibuka hari ini ringgit terus jatuh berikutan permintaan meningkat terhadap dolar AS dari New York dan Hong Kong oleh peniaga AS.

Ia dibuka pada 4.5418 dan terus merosot selepas itu sehingga campur tangan BNM.

Seorang penganalisis berkata, tindakan BNM hanya merupakan pelan tindakan jangka pendek yang bersifat sementara.

Bagaimanapun katanya, pasaran berhak menentukan keadaan tanpa campurtangan kerana ia mungkin akan lebih teruk lagi.

''Selama inipun kita telah menikmati kemewahan dengan BSKL mencecah indeks komposit lebih 1,000 dan ringgit stabil pada 2.500 berbanding unit dolar AS,'' kata beliau ketika dihubungi Utusan hari ini.

Persoalan sekarang ialah, sampai bilakan BNM mampu menampung kejatuhan ringgit yang kini tidak mustahil mencapai 5.000.

Katanya, kejatuhan sekarang ini menimbulkan kebimbangan syarikat-syarikat besar yang mula menjual mata wang serantau ini untuk mengelakkan kerugian.

Pelabur asing kini tidak mahu memegang mata wang tempatan dan mula menjualnya secara besar-besaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelabur-pelabur Malaysia, Dr. P.H.S. Lim berkata, terdapat dua mata wang asing yang berpengaruh dalam pasaran dunia iaitu yen dan dolar AS.

''Jika kita lihat sekarang, bukan ringgit sahaja yang terjejas, malah semua mata wang dunia terjejas.

Oleh itu, tidak perlu risau kerana dolar AS akan jatuh dan ringgit akan stabil satu masa nanti,'' kata beliau tanpa menjelaskan bila ringgit akan pulih.

Dalam hal ini, katanya, masalah ringgit dan ekonomi merupakan masalah globalisasi dan bukan setempat.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN