Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  Kumpulan utusan        Hubungi Kami              Jom Iklan!              Arkib Berita






MUKA HADAPAN

Ringgit: Bank Negara dibenar campur tangan

Ringgit: Bank Negara dibenar campur tangan

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dibenarkan untuk campur tangan dalam pasaran tukaran wang asing bagi memastikan nilai ringgit dapat distabilkan.

Anwar yang mengulas mengenai kejatuhan ringgit hari ini yang mencapai paras terendahnya 4.0550/50 berbanding dolar Amerika, menegaskan BNM boleh campur tangan sekiranya keadaan itu sangat diperlukan.

Ekoran kejatuhan nilai ringgit hari ini Indeks Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur turut mengalami kejatuhan sebanyak 25.17 mata.

Sambil melahirkan keyakinan bahawa kejatuhan nilai ringgit masih boleh diatasi, Anwar menegaskan, kejatuhan ringgit sebenarnya turut dipengaruhi oleh persekitaran kewangan serantau.

''Sebagai dasar, BNM perlu memastikan bahawa terdapat kestabilan bagi nilai ringgit.

''BNM perlu cukup pembiayaan dan kuasa untuk mempertahankan ringgit apabila diperlukan dan sentiasa mengawasi perkembangannya di pasaran,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Penghayatan Ramadan anjuran Perbendaharaan Malaysia di sini hari ini.

Dalam tempoh sepanjang enam bulan yang lalu, ringgit telah merosot sebanyak 60 peratus daripada RM2.52 berbanding satu dolar Amerika pada Jun, kepada RM3.94 pada pertengahan Disember tahun lalu.

Dalam hubungan ini Anwar menegaskan, kejatuhan ringgit sebenarnya disebabkan oleh beberapa faktor serantau seperti nilai baht, peso, rupiah dan won (Korea Selatan).

Anwar berkata, seperti biasa BNM tidak campur tangan terlalu agresif bagi mempertahankan nilai ringgit 'tetapi harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika nilai ringgit terus jatuh.'

''BNM mesti ada wibawa dan kuasa untuk mengawasi dan mempertahankan sistem kewangan negara termasuk mengekalkan nilai ringgit jika perlu,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan khuatir kerana ringgit telah melepasi paras RM4 berbanding satu dolar Amerika, Anwar tidak menafikan penyusutan itu.

''Mestilah ada kejatuhan tetapi kita sentiasa mengawasi keadaan itu dan saya percaya kita boleh mengatasinya,'' tegas beliau.

Ditanya mengenai cadangan menggabungkan beberapa institusi kewangan, Anwar berkata, kerajaan telah mengarahkan semua institusi berkenaan supaya berbuat demikian agar mereka lebih berdaya saing.

''Kita mesti mempunyai daya saing yang kuat untuk melihat kemungkinan liberalisasi lebih baik dalam sistem kewangan masa depan,'' katanya.

Semalam Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Clifford Herbert berkata, beliau yakin bank-bank tempatan tidak akan ditutup akibat kegawatan ekonomi dan kewangan negara semalam.

Beliau berkata, kerajaan telah menyatakan sistem perbankan negara adalah kukuh dan orang ramai tidak harus bimbang mengenainya.

IKLAN@UTUSAN


IKLAN@UTUSAN


Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 6:10
Zohor 1:30
Asar 4:50
Maghrib 7:29
Isyak 8:40
 

BANCIAN

IKLAN Teks

IKLAN@UTUSAN