ARKIB : 28/08/2012
Menghimbau permainan tradisional
KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Suasana di sekitar Rumah Komuniti Teratak Desa Gong Baru, Kampung Gong Tok Nasek dekat sini riuh dengan hilai tawa, tepukan dan sorakan.
Ia suasana pesta apabila ramai yang melapangkan diri dan berkumpul pada hari itu. Kebanyakan mereka adalah penduduk kampung pelbagai peringkat usia di samping penduduk kampung berdekatan.
Mereka hadir sebagai pemain dan penonton dalam pertandingan permainan tradisional dengan tema 'Permainan Nostalgia Warisan di Hatiku' baru-baru ini.
Kampung itu terletak di pinggir pusat bandar raya ini yang makin terhimpit oleh pembangunan, namun penduduknya masih mengekalkan kehidupan sepakat dalam nilai tradisi.
Mereka juga masih memelihara permainan tradisional sebagai cermin suasana kehidupan silam terutama semasa di alam kanak-kanak.
Alam yang penuh keriangan dengan berkongsikan kegembiraan melalui permainan ala kadar mengunakan apa sahaja yang mudah ditemui, tanpa mengeluarkan belanja dan dipertandingkan bagi menambah keseronokan.
Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Baru mengembalikan nostalgia itu yang juga sebahagian daripada usaha menyuburkan kemesraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Permainan itu pula suatu yang semakin asing bagi generasi masa kini termasuklah permainan tiup getah suatu permainan paling ringkas.
Walaupun nampak mudah, kemahiran meniup dan membaca arah angin diperlukan bagi memastikan getah yang ditiup bertindih dengan getah lawan.
Turut dipertandingkan ialah permainan bola kaki empat atau juga dikenali sebagai tuju kasut dan baling selipar di samping bola cetong atau lempar bola ke arah tin-tin kosong.
Ia seumpama permainan boling atau bola padang masa kini yang tidak memerlukan pengadil dan lazimnya dimainkan di kawasan laman rumah.
Sementara itu, bagi yang lebih dewasa, mereka gemar menguji kemahiran masing-masing dengan bermain titing bulu ayam, panah daun nyiur, jet mengkuang dan petik mata.
Tidak ketinggalan juga beberapa permainan tradisi lain yang turut menjadi perhatian ketika itu iaitu campok lubang, lempar ubat nyamuk dan selambut.
Bagi Pengerusinya, Mohd. Hanafiah Ismail, program yang julung kalinya diadakan itu cukup signifikan dan berbekas di hati setiap hadirin yang turut serta.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu berkata, walaupun julung kali diperkenalkan, program itu mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya generasi muda.
"Justeru, kami bercadang untuk menjadikan pertandingan sama pada tahun depan lebih meriah dengan beberapa acara lain seperti bola katok, tol jet dan sebagainya.
"Jika sambutan yang diterima semakin menggalakkan, kami akan berbincang dengan JKKK kampung lain untuk mengadakan program itu dalam bentuk pertandingan antara kampung," katanya.
Jelas Mohd. Hanafiah, pihaknya juga sedia menimbang kemungkinan untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi inap desa yang berminat menjadikan permainan tradisional itu sebagai sebahagian daya tarikan pelancong ke negeri ini.
"Apa yang penting ialah golongan muda perlu tahu bahawa permainan tradisional inilah yang pernah dimainkan oleh datuk dan nenek moyang mereka suatu masa dahulu," katanya.
Kenyataan beliau turut disokong oleh seorang lagi generasi emas kampung di kampung itu iaitu Ismail Awang, 59, yang menganggap golongan muda ketika ini kurang didedahkan dengan permainan bertaraf nostalgia itu.
"Jadi, inilah masa sesuai untuk mengangkat kembali martabat permainan lama yang semakin dilupakan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Hafiruddin Mohd. Hanafiah, 22, yang mewakili generasi muda berkata, pendekatan yang digunakan oleh KRT Gong Baru Kampung Tok Nasek dalam mempopularkan permainan nostalgia tersebut wajar dipuji.
"Sebagai generasi baru, saya akui banyak juga permainan tradisional yang saya tidak pernah kenal sebelum ini.
"Jadi, permainan ini memang patut diperkenalkan di serata tempat kerana setahu saya, sebahagian besar daripadanya memang ada di Terengganu sahaja," katanya.
Pemberian pelbagai dana, bantuan akan diteruskan
Isteri wakil rakyat BN sertai kursus etika sosial
23,477 peluang kerja sektor industri
Pusat belanja RM40 juta naik taraf LTSIP
Yang Dipertua DUN mula diuji pembangkang
1.155 juta pelancong lawat Kelantan pada Januari- Mac
UMT bantu sekolah tingkat pengusaan Bahasa Inggeris
Program Dana Raya diteruskan
Industri bantu kurangkan pengangguran
Tender terbuka lombong masih dalam kajian
kerajaan pusat agih peruntukan RM300,000 laksana projek di DUN Semerak, Selising
Redang diancam pencemaran
Semua pihak boleh beribadat
PPPIK sasar tambah 3,000 ahli - Mohd. Fared
GRV, PPPK kutip dana pendidikan RM288,000
Pelajar Korea teruja dapat mengenali budaya masyarakat Kelantan
15 tan barang kitar semula dikutip
Rela Besut rai kemenangan BN penuh meriah
Ceroboh: 47 nelayan asing ditahan
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










