ARKIB : 14/08/2012
Kehadiran SMS, kad raya dilupakan?
Medium baru kini menjadi pilihan kerana lebih mudah dalam menyampaikan ucapan Aidilfitri, sekali gus menjadikan kad ucapan hari raya semakin hilang daya tarikannya.
Masyarakat kini terutamanya golongan muda lebih selesa menggunakan perantara baru seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan yang terbaru, laman sosial popular seperti Facebook serta Twitter bagi menyampaikan ucapan.
Melihat kepada situasi tersebut, tidak mustahil suatu hari nanti kad ucapan hari raya ini akan pupus dan tradisi sejak sekian lama itu akan hilang mengikut peredaran masa.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis menjual kad raya di sekitar bandar ini mendapati kad ucapan itu kurang mendapat sambutan orang ramai.
Perkara itu turut diakui oleh seorang pekerja sebuah kedai, Siti Noraini Abdullah, 28 yang memberitahu, setiap tahun jualan kad raya di kedainya merosot.
Katanya, kemerosotan jualan kad raya itu bukan lagi perkara baru malah sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, dahulu jualan kad raya sememangnya sangat laris malah, sebelum bermulanya Ramadan lagi orang ramai sudah mula membelinya
"Hari ini walaupun hari raya semakin menjelang tiba kad raya ini masih tidak mampu dijual seperti dahulu. Dalam sehari hanya terdapat lima atau enam orang yang datang membeli.
"Bagaimanapun demi mempertahankan tradisi kad ucapan raya ini ia akan terus dijual walaupun sudah tidak mendapat sambutan lagi," katanya ketika ditemui sini.
Sementara itu, seorang pelajar, Rohani Suhaimi, 20, berkata, dia tidak lagi menggunakan kad raya untuk menyampaikan salam Aidilfitri kepada rakan-rakannya.
Katanya, dia kini lebih selesa menghantar ucapan melalui SMS atau menggunakan laman sosial seperti Facebook.
Menurut Rohani, medium baru itu juga lebih cepat, mudah dan murah jika dibandingkan dengan menghantar kad raya yang memakan masa dan kos yang lebih tinggi.
"Kad raya mungkin mengambil masa selama seminggu untuk sampai kepada orang yang kita hantar. Kadang-kala langsung tidak sampai walaupun sudah habis beraya," katanya.
Seorang lagi pelajar, Nurul Najihah Yusof, 20, pula berkata, dia hanya menggunakan kad raya semasa zaman belajar di sekolah dahulu.
Katanya, dahulu tidak ada telefon bimbit dan hanya kad raya menjadi medium untuknya menghantar ucapan kepada orang tersayang.
Namun, katanya, kini semuanya sudah berubah dan orang ramai sudah tidak lagi menghantar kad raya, sebaliknya ucapan dihantar secara SMS yang lebih cepat dan berkesan.
"Dengan menggunakan SMS, dalam masa tidak sampai satu minit, ucapan hari raya kita sudah sampai kepada rakan-rakan. Ini sangat mudah tidak seperti kad raya yang memakan masa berhari-hari untuk sampai dan kini setem juga semakin mahal," katanya.
Menurutnya, walau kad raya tetap mempunyai nilai yang tersendiri tetapi zaman menghantar kad raya dianggap sudah berlalu.
Katanya, tidak mustahil seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, kad raya akan tinggal sejarah dalam masa lima atau enam tahun lagi.
Rumah peninggalan pedagang dibuka 2016
OKU disaran kuasai ilmu pengetahuan baiki kehidupan
Terima kasih TNB!
Lebih RM300 juta naik taraf Pelabuhan Chendering
RM800,000 bantu rakyat miskin
Belia Kelantan terus diperkasa - Makhtar
MAIK agih zakat bantu mangsa kebakaran
15 penagih leka lepas gian diberkas
Murid, guru SK Seri Kota raikan sambutan Hari Guru
Polis buru bekas banduan cederakan warga emas
Tiga bersaudara lembam harapkan pembelaan masyarakat
Pemilik kedai runcit rugi RM100,000 dalam kebakaran
Sekadar ulang janji lama
Masalah air bersih terus belenggu penduduk Kelantan
Industri batik tempatan diyakini terus berkembang
ADUN cuba pendekatan baru
Tubuh koperasi bantu nelayan sungai
LKTN pergiatkan kempen tingkat pengusaha kenaf
SMK Seri Budiman perintis program cari bakat sukan berbasikal
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||









