ARKIB : 05/08/2012
Saya janji bertarung habis-habisan
APABILA saya menjejakkan kaki ke Arena Wembley untuk final menentang Lin Dan hari ini, saya tahu saya tidak keseorangan.
Mengiringi saya ke gelanggang adalah doa dan sokongan padu 28 juta rakyat Malaysia yang bersatu atas satu matlamat, iaitu saya menghadiahkan pingat emas sulung untuk Malaysia, sekali gus menamatkan penantian sejak kontinjen negara mula bertanding di Olimpik Melbourne pada 1958.
Saya telah menerima ribuan ucapan selamat berjaya dan saya ingin berterima kasih kepada mereka yang terus meletakkan kepercayaan pada saya.
Inilah masanya, hari yang saya tunggu sejak Beiing 2008. Ia bukan soal melunas dendam mahupun sesuatu yang menghantui saya sejak kekalahan empat tahun lalu.
Pada hari itu, Lin Dan memiliki segala kelebihan termasuk sokongan tuan rumah dan penyesuaian diri dengan venue. Namun, saya akui Lin Dan sememangnya pemain yang lebih baik dan berhak menjadi juara ketika itu.
Juga siapa boleh lupakan kejuaraan yang saya terlepas tahun lalu, gelaran Dunia yang sepatutnya saya genggam tetapi apakah daya tuah tidak menyebelahi saya.
Jadi, ‘menebus’ adalah kata kunci dalam misi saya memadamkan episod duka di Wembley tahun lalu dan melakar sejarah.
Minggu lalu adalah tempoh sukar bagi saya, malah jauh lebih sukar daripada proses rehabilitasi selepas kecederaan yang menimpa buku lali saya pada Mei lalu.
Ada masanya saya bertanya dalam hati, ‘apakah saya berupaya untuk melangkah ke final’, menyedari kecergasan tidak mengizinkan malah saya tidak pasti sekiranya tahap permainan saya dapat memuncak.
Timbul juga masalah fobia, kembali ke gelanggang buat kali pertama bertemu Ville Lang sememangnya tidak mudah.
Ia merupakan permulaan hambar, bukan sesuatu yang saya jangkakan dan saya terpaksa duduk bersama jurulatih, Teh Seu Bock dan Rashid Sidek bagi menilai dan membincangkan di mana silapnya pada perlawanan tersebut.
Hanya apabila bertemu Simon Santoso baru saya betul-betul berasa selesa. Pukulan strok kembali menjadi, mampu bergerak lebih cergas sekitar gelanggang dan saya dapat beraksi seperti dahulunya.
Mengingat kembali kecederaan yang saya alami, ia membuatkan saya berasa lebih bersyukur kerana memiliki bantuan dan rawatan terbaik dari pihak Institut Sains Negara (ISN) yang bekerja setiap masa untuk memungkinkan semua ini berlaku.
Siapa yang menyangka bahawa saya akan berjaya layak sehingga ke final Olimpik? Sebenarnya saya sendiri juga meraguinya. Tetapi, menyedari seluruh negara menyandarkan harapan tinggi kepada saya membuatkan saya bertarung habis-habisan walaupun dalam kesakitan.
Segala penat lelah menghabiskan 13 jam untuk rutin latihan dan rehabilitasi setiap hari akhirnya membuahkan hasil, cukup berbaloi. Satu sejarah telah pun tercipta sebelum memulakan pertarungan dengan Lin Dan kerana ini adalah julung kali dua pemain bertembung pada final dua Olimpik berturut-turut.
Lin Dan sudah tentu akan bermula sebagai pemain pilihan mengambil kira dia kerap kali menewaskan saya. Bagaimanapun, ia bukan satu masalah bagi saya untuk dia memegang kelebihan sebelum perlawanan bermula.
Harus diingat, bukan apa yang berlaku sebelum atau apabila perlawanan bermula, sebaliknya yang paling mustahak ialah kesudahannya.
Ganjaran menunggu, satu dari pihak kerajaan dan satu lagi jongkong emas RM2 juta ditawarkan KLRC Berhad. Slogan ‘Emas untuk Emas’ yang diilhamkan Datuk Seri Andrew Kam telah mencuri tumpuan seluruh dunia.
Akhir kata, harapan saya ialah seluruh Malaysia bersatu dan peranan saya adalah mempamerkan persembahan terbaik di atas gelanggang. Saya berjanji untuk bertarung habis-habisan, ibarat pertembungan hidup mati.
Mudah-mudahan, kemarau pingat emas 56 tahun untuk negara tercinta akan dapat saya akhiri hari ini.
Bookie tunjuk ‘samseng’
Johor DT pintas ATM di tangga kedua Liga Super
Selangor tamatkan badi seri
Jentera belum serasi masalah utama Zulfahmi
Nak tunggu kena cantas Vietnam?
BAM harus bertanggungjawab dimalukan dalam Piala Sudirman - Khairy
Perseorangan wanita kita sudah statik - Rashid
Sepak takraw: Elit kita kejutkan bekas tonggak Thai
Perlawanan JDT-Kelantan kecoh
Jerman cantas kita
Berani buat berani tanggung
Shahidan perlu buat keputusan
Woodball acara baharu Sukma
Sarawak ke saingan Liga Super
Nicol mara, Wee Wern kecundang
Piala Sudirman: Malaysia tersingkir
Pulis tinggalkan Stoke
Indonesia jumpa China lagi
Lawan Jerman tanpa Koo-Tan?
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||










